Segala persoalan kini telah terjawab, Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin adalah juara Gegar Vaganza musim keempat edisi 2017!
Pelantun lagu Camar Yang Pulang itu berjaya membawa pulang wang tunai sebanyak RM100,000 dan piala Gegar Vaganza. Selain itu, Aishah turut membawa pulang sebidang lot tanah banglo, pakej percutian ke Eropah Timur, barangan kemas sumbangan DSC Gold & Jewelry dan baucer membeli belah yang bernilai RM6,000 sumbangan Go Shop.
Penyanyi berusia 52 tahun itu malahan beraksi cemerlang ketika membawakan lagu All by Myself untuk segmen solo serta menyanyikan lagu Supergirls bersama-sama dengan Liza Hanim dalam segmen battle.
Tempat kedua pula, dimenangi oleh Liza Hanim yang menerima wang tunai sebanyak RM50,000 manakala Lan Solo di tempat ketiga dengan membawa wang tunai RM30,000.
Sementara tempat keempat dimenangi oleh Hazami (RM20,000), tempat kelima dimenangi Firman (RM15,000) dan tempat akhir dimenangi Tia Jinbara (RM10,000).
Aishah adalah juara keempat selepas Ayai Ilusi, Siti Nordiana dan Azharina yang berjaya bergelar juara tiga musim terdahulu. Diacarakan oleh Nabil Ahmad dan Jihan Muse, GV 4 bersiaran secara langsung dari Pinewood Iskandar Malaysia Studios.