Seperti biasa, saat penulis sedang asyik membaca artikel berkenaan himpunan informasi menarik yang boleh mencelikkan minda -yang faedahnya lebih besar daripada meneliti ceritera cinta #Fattzura di media sosial… Ada sebuah tajuk yang menarik perhatian penulis.
Artikel itu menceritakan tentang asal-usul snek kegemaran ramai berbentuk roti pintal yang juga dikenali sebagai “pretzel”.
Jika anda menggemari makanan yang mudah dimakan secara langsung (on-the-go), anda pasti mengenali snek ini kan? Rasanya lembut dan lebih enak andainya ia ditabur dengan campuran cinnamon sugar, butiran garam kasar atau boleh juga dimakan begitu sahaja kerana rotinya cukup empuk bila dinikmati panas-panas.
Namun penulis yakin, sebaik anda mengetahui cerita disebalik sejarah pembikinan pretzel ini, anda mungkin tidak lagi mahu menikmatinya kerana ia bakal merubah persepsi dan fahaman anda tentang pretzel selama-lamanya. Walaupun ianya halal dek hanya dibuat menggunakan ramuan tepung, garam, yis, gula, serbuk penaik dan minyak sayuran.
Resepi Asal Pretzel Dicipta Oleh Pendeta Kristian Eropah
Sejarah pretzel bermula sejak 1,500 tahun lalu.
Menurut sumber yang tercatat dalam sebuah manuskrip lama yang dikemukakan oleh pihak Vatican, Pretzel adalah hidangan snek diperbuat menggunakan lebihan tepung roti oleh para pendeta Kristian Eropah yang berkhidmat di sekitar daerah Utara Itali atau Selatan Perancis pada tahun 610 sebelum masihi.
Dijadikan Ganjaran Buat Pelajar Agama (Kristian)
Menurut penulisan yang dinukilkan dalam manuskrip itu lagi, pretzel pada waktu itu yang hanya dibuat menggunakan lebihan doh roti akan dijadikan ganjaran (pemberian) buat para pelajar agama Kristian sebagai upah kerana telah berjaya mendalami ilmu agama (Kristian) tersebut dengan cermat.
Pintalan Pretzel Simbolik Pada Kedudukan Tangan Yang Disilang Semasa Penganut Kristian Berdoa
Oleh kerana itu, pendeta sengaja memintal doh roti tersebut membentuk tangan yang bersilang umpama kedudukan tangan penganut Kristian Eropah ketika berdoa. Kedudukan tangan bersilang yang dilekapkan pada bahagian dada itu adalah posisi masyarakat atau penganut Kristian dahulu kala berdoa/bersembahyang.
Nama Pretzel Adalah Daripada Perkataan “Pretiola”
“Pretiola” adalah bahasa Latin yang membawa maksud “Ganjaran Kecil”. Manakala, tiga lubang yang terdapat pada bentuk pretzel itu sendiri masing-masing mewakili triniti suci –tiga elemen utama dalam agama Kristian iaitu Father, Son & Holy Spirit.
Biar pun begitu, fakta ini belum disahihkan secara keseluruhan kerana terdapat para ilmuan yang berpendapat bahawa nama pretzel itu mungkin hadir daripada perkataan latin “brezitella”, membawa maksud “lengan”.
Pretzel Dianggap Simbol Tuah
Pada zaman pertengahan, para pendeta Kristian memberi pretzel kepada kaum miskin sebagai simbol keagamaan. Sebab itulah, snek roti pintal itu diangkat menjadi tanda pengabulan, panjang umur dan tuah.
Bukan itu sahaja, pretzel juga menjadi antara elemen menarik yang diketengahkan pelukis bernama Job Adriaenszoon Berckheyde dalam sebuah karyanya yang berjudul “The Baker”.
Pretzel sejak itu menjadi simbol tuah yang paling memberi kesan kepada masyarakat Kristian Eropah sehingga ceritanya dinukilkan dalam ensiklopedia bergambar “Hortus Deliciarum” tulisan Herrad of Landsberg iaitu, seorang biarawati german pada abad ke-12 yang menyatakan betapa pentingnya hidangan pretzel dalam sesebuah acara keramaian.
Pretzel Kononnya Selamatkan Vienna Daripada Serangan Empayar Islam Uthmaniyyah
Pada abad ke-16, pretzel merupakan makanan ruji yang katanya dapat menyelamatkan nyawa penduduk di Vienna daripada diserang. Cerita ia bermula pada tahun 1529 apabila tentera dari Empayar Uthmaniyyah mahu menawan kota Vienna di Austria, mereka bermula daripada terowong bawah kota Vienna yang diselubungi kegelapan.
Walau bagaimanapun, ada segelintir pendeta Kristian yang bekerja di bawah tanah biara (tempat tinggal para pendeta) yang kerjanya saban hari menyediakan pretzel-pretzel segar buat penduduk Vienna telah terdengar dan mengetahui tentang serangan yang bakal dilakukan pihak Empayar Uthmaniyyah itu lalu mereka menyebarkan berita itu kepada pihak kerajaan dan tentera Vienna untuk bersiap sedia dengan serangan Empayar Uthmaniyyah. Oleh kerana itu, pretzel dianggap mulia. Walau bagaimanapun, akhirnya Empayar Islam Uthmaniyyah tetap berjaya menawan Vienna pada tahun 1683.
Untuk pengetahuan semua, Empayar Uthmaniyyah adalah istimewa dan merupakan antara kerajaan (kerajaan Islam) terhebat dalam sejarah ketamadunan manusia.
Kerajaan Uthmaniyyah merupakan kerajaan Islam terakhir yang mengamalkan sistem pemerintahan khalifah dan berjaya menguasai sebahagian besar benua Asia, Eropah dan Afrika Utara. Bertahan selama lebih 600 tahun, empayar itu bagaimanapun akhirnya runtuh disebabkan pelbagai faktor termasuk isu dalaman sehingga menyebabkan anasir luar mudah menerobos dan menghancurkan kegemilangan kerajaan Islam tersebut secara perlahan-lahan.
BACA selanjutnya tentang kejatuhan Kerajaan Uthmaniyyah [DI SINI]
Ingin penulis tegaskan, penulis langsung tidak ada kuasa untuk menjatuhkan hukum sama ada haram atau tidak untuk terus menikmati pretzel. Sebaiknya, segala kemusykilan yang timbul diajukan terus kepada yang lebih berpengetahuan dalam ilmu agama seperti para ustaz.
Secara dasarnya, pretzel ‘kosong’ masih tetap halal untuk dimakan kerana ramuannya (hanya dibuat menggunakan ramuan tepung, garam, yis, gula, serbuk penaik dan minyak sayuran) tidak mengandungi sebarang bahan yang ditegah Islam seperti alkohol mahupun daging khinzir atau sebarang gelatin yang diambil daripada haiwan haram itu.
Artikel ini adalah sekadar untuk perkongsian ilmu dan sejarah berkenaan pretzel yang mungkin ramai tidak tahu. Kalau dah halal tu makan sahajalah ye dak?
Semoga bermanfaat untuk semua! ❤️