Seperti bintang Sepideh Haftgoli, aktres drama bersiri Suits yang bakal menjadi isteri kepada Putera Harry itu juga nampaknya memilih Inbal Dror selaku pereka fesyen yang diamanahkan untuk merealisasikan gaun pengantin impiannya.
Baru sahaja mengumumkan tarikh perkahwinan mereka hujung minggu lalu dengan memilih 19 Mei tahun hadapan untuk melangsungkan majlis, khabarnya, Dror sudah pun menyiapkan lakaran pertama gaun pengantin yang bakal disarungkan bakal puteri, si Meghan Markle dan apa yang lebih mengejutkan, perincian pada gaun tersebut seolah menggabungkan dua elemen utama daripada potongan gaun pengantin mendiang Puteri Diana dan gaun pengantin bakal kakak iparnya, Kate Middleton.
Sebelum ini Dror pernah menghasilkan rekaan dress sensasi untuk bintang ternama lain termasuklah Beyonce yang pernah digayakan sewaktu menghadiri acara anugerah Grammys pada 2016.
Sewaktu dihubungi oleh Elle.com semalam, Dror yang merupakan pereka fesyen pakaian pengantin kelahiran Israel itu tampil mengesahkan bahawa memang beliau ada menghantar beberapa lakaran kepada Meghan untuk dipertimbangkan.
Klasik namun masih mampu menonjolkan aura seksi, ketiga-tiga idea gaun yang dilakarkan masing-maing mempunyai lengan panjang, pinggang yang ketat, hiasan renda dan ropol serta potongan leher tinggi. Jika boleh dilihat, rekaan tersebut seolah berpandu pada trend fesyen yang dijangka bakal gempar tahun hadapan iaitu perincian lengan gelembung di mana, gaya itu pernah popular pada zaman 50an. [KLIK]
Terdahulu, Puteri Diana memilih David dan Elizabeth Emanuel untuk mencipta gaun pengantin ikonik yang pernah disarungkannya sewaktu perkahwinannya bersama Puteri Charles pada tanggal 29 Julai 1981 yang turut dihiasi 25 kaki lebihan kain meleret manakala gaun kahwin Kate Middleton pula mendapat sentuhan eksklusif daripada pereka fesyen Alexander McQueen mirip potongan gaun perkahwinan Grace Kelly.