Youn’s Kitchen tiba lagi untuk musim kedua dan kali ini lebih menarik berlokasi di Sepanyol. Mengekalkan ahli tetap seperti Lee Seo Jin, Yoon Yeo Jung dan Jung Yoo Mi, musim kedua ini mengambil aktor Park Seo Joon yang menggantikan aktor Shin Goo.
Berbekalkan fizikal yang tinggi lampai, rupa paras tampan, personaliti ceria, bertenaga dan bonus dalam berbahasa sepanyol, tidak hairan ramai wanita yang terpikat melihatnya. Bahkan pihak produksi ‘berseloroh’ mengatakan Park Seo Joon adalah kekuatan untuk musim baru ini.
Satu episod sudah ke udara dan seperti dijangka kelibat aktor berusia 30 tahun ini mencuri tumpuan. Ini apabila pasangan Rusia datang ke restoran untuk menikmati makanan, mata pelancong wanita lebih tertumpu kepada Park Seo Joon yang ketika itu sedang ramah mesra melayan pelanggan lain.
“Wow.. tengok dia, ciri wajahnya cukup sempurna. Saya rasa lelaki Korea memang kacak secara umum,” jelas pelancong wanita dari Rusia itu.
Bukan pelanggan itu sahaja, malah penulis yang menonton juga turut terpikat melihat cara Park Seo Joon bekerja, cukup bertenaga dan wajahnya yang sedap mata memandang. No wonder, Park Seo Joon ditugaskan sebagai pelayan bagi menarik minat orang datang ke restoran tersebut.
Youn’s Kitchen adalah rancangan realiti Korea yang menampilkan selebriti yang membuka restoran Korea di tempat-tempat eksotik di seluruh dunia dan memperkenalkan budaya dan makanan kepada orang asing.