Home sweet home. Itulah pepatah Inggeris yang menggambarkan betapa kebahagiaan itu sepatutnya berada di dalam rumah. Namun tidak dapat dinafikan adakalanya kita akan merasa terkongkong, rimas dan kurang gemar berada di dalam rumah. Jangan risau, itu fasa biasa.
Berikut Wanista berikan 10 tips mudah untuk anda ikuti bagi mengembalikan rasa bahagia dan gembira apabila berada di dalam rumah.
Kemas katil setiap hari sebelum anda keluar rumah. Perkara basic yang anda mungkin tak praktikkan.
Kemas setiap bilik supaya ia kembali kepada keadaan asal atau keadaan bersedia. Memang telah terbukti, bilik yang berselerak boleh mengundang stress. Jadi, luangkan sekurang-kurangnya tiga minit untuk memastikan setiap bilik dalam rumah kembali kepada keadaan asal (kemas) dan tersedia sebelum anda keluar dari rumah. Balik nanti, tidaklah kepala anda pusing melihat bilik berselerak.
Letakkan barang-barang bernilai sentimental di sekitar rumah. Kembalikan memori indah yang pernah anda lalui dengan meletakkan barangan ini di tempat yang mudah anda lihat. Ini akan membantu anda menjadi lebih positif.
Catitkan perkara yang menggembirakan ada untuk sepanjang hari dalam jurnal. Sebelum tidur, tuliskan memori indah anda untuk hari itu di dalam jurnal atau diari anda. Bila anda kurang mood, anda boleh baca kembali senarai ini.
Nikmati kerja rumah. Bunyinya agak pelik, tapi anda harus cuba. Sudah tentulah, pinggan mangkuk tidak akan tercuci dengan sendirinya jika bukan anda sendiri yang cuci. Jadi, untuk menjadikan ianya menarik sedikit, anda nikmati aktiviti seperti mencuci pinggan mangkuk ini; rasakan kelembutan air mengalir di tangan anda, nikmati buih-buih pencuci pinggan; pasangkan lagu kegemaran anda semasa membuat kerja rumah; menari jika perlu.
Sebelum memulakan hari anda, tentukan sekurang-kurangnya satu matlamat anda untuk hari itu. Selepas berterima kasih kepada Tuhan kerana diberi kesempatan untuk hidup, anda tentukanlah apa yang anda ingin capai untuk hari itu. Matlamat itu boleh jadi umum seperti ‘menjadi lebih produktif’, atau ‘nikmati hari yang mengasyikkan’ atau sesuatu yang spesifik seperti ‘ucapkan terima kasih pada yang tersayang’.
Tolong rakan serumah anda, dan jangan harapkan sebarang balasan, walaupun cuma ucapan terima kasih. Tolong suami potong rumput, tolong isteri kemaskan katil, tolong rakan serumah membuang sampah. Lakukan ini semua tanpa mengharapkan sebarang balasan. Bila anda buat baik dengan orang, pada masa yang sama anda pun turut terasa bahagia.
Selalulah menghubungi sekurang-kurangnya seorang teman rapat atau ahli keluarga. Anda boleh lakukan tips ini semasa mengemas rumah. Tetapi jangan hantarkan SMS atau email! Buatlah panggilan telefon yang sebenar, untuk berbual dan mengetahui khabar terkini rakan atau keluarga anda. Kajian mengatakan bahawa sekalipun anda seorang introvert, berhubung dengan orang yang anda sayang akan membuatkan anda merasa lebih tenang.
Berbelanja sedikit untuk mendapatkan pengalaman menarik di rumah. Beli alat memanggang, set DVD atau zaman serba canggih sekarang dengan Netflix untuk ditonton bersama keluarga; sesuatu yang membolehkan anda dikelilingi oleh orang tersayang. Jangan lupa rakamkan gambar kenangan dan hiasinya di rumah anda seperti dalam tips nombor 3.
Beribadah. Hubungan manusia dan Tuhan memainkan peranan penting dalam menentukan kebahagiaan seseorang. Berterima kasih pada Tuhan atas apa yang anda perolehi selama ini, luangkan masa berjalan-jalan di sekitar taman berhampiran rumah dan lihatlah kekuasaan Tuhan.
Bagaimana, mudah kan? Selamat mencuba dan semoga anda berbahagia!