Baru-baru ini, penulis berpeluang menyertai kelas mini membuat topi hiasan bersama dengan tukang topi terulung dari Melbourne iaitu Serena Lindeman. Selama hampir dua jam setelah menggunakan bahan yang disediakan, di samping mendapat tunjuk ajar terperinci daripada Serena, barulah penulis mengerti bahawa kreativiti, minat dan kesabaran amat diperlukan bagi menghasilkan karya yang sebegini indahnya biarpun hanya sekadar perhiasan kepala.
Bagi penulis, teknik pembuatan topi berhias ini tidaklah serumit yang disangka namun, ketelitian adalah penting bagi menghasilkan rekaan bermutu agar si pemakai kemudian kelihatan mengancam.
Menurut Serena, hiasan kepala yang memiliki ciri artistik ini akan dibuat mengikut permintaan pelanggannya. Bahkan setiap satu rekaan hanya akan dibuat sekali sekaligus menjadikannya bernilai kerana memiliki ciri dan keunikan tersendiri.
Jika hendak dibandingkan dengan Malaysia, topi berhias mungkin dianggap tidak relevan akan tetapi melihatkan perkembangan arena fesyen negara kita yang semakin kukuh, ia mungkin dapat mewujudkan suatu pembaharuan -menjadikannya sebagai inspirasi untuk para pereka fesyen tanah air agar lebih intuitif dan berani mencuba kelainan.
Musim bunga bakal menjelma tidak lama lagi menjadikan Melbourne, Australia adalah kota yang bakal dimeriahkan dengan seisi pesta glamor sekaligus merupakan tempat permainan bagi para pencinta fesyen tempatan yang dipanggil Melbourne Spring Racing Carnival.
Di kejohanan lumba kuda sebeginilah, bukan hanya golongan elit yang mengambil kesempatan untuk memakai pakaian yang indah-indah, orang biasa juga kini berpeluang untuk melaram sakan dan salah satu aksesori paling utama untuk digayakan para wanita adalah topi berhias yang digelar Fascinator ini.
Selain mampu melambangkan personaliti seseorang, pemilihan fascinator yang besesuaian juga dapat meningkatkan keyakinan diri si pemakai tatkala berdepan dengan khalayak umum. Pesan Serena, “Jangan sesekali berasa takut untuk melebih-lebih dalam pemakaian topi berhias ini kerana lebih meroah topi yang dipilih, lebih gah si pemakai akan kelihatan”.
Namun begitu, ia haruslah bersesuaian dengan saiz dan bentuk muka kerana tidak semuka rekaan topi akan bersesuaian dengan wajahsi pemakai, oleh itu cuba dahulu sebelum membeli. Dalam masa yang sama, topi berhias tersebut tidak semestinya mempunyai warna yang senada dengan warna pakaian seseorang kerana ia boleh juga dipadankan dengan rona kasut, beg tangan atau solekan yang dibawakan.
Untuk keterangan lanjut, sila klik [corporate.visitvictoria.com] atau lawat laman facebook rasmi Visit Victoria di [www.facebook.com/visitvic].