Cuti-cuti ni korang buat apa? Yang tak ada buat apa-apa tu, sebelum naik bosan jomlah kita asah sikit ilmu memasak.
Kalau sebelum ni penulis pernah kongsi resipi udang goreng butter, apa kata kali ni penulis kongsikan pula resipi sotong telur masin bersalut nestum rangup. Rasanya memang sedap tak terkata, rangup dan rasa masin yang datang daripada kuning telur hancur tu buatkan korang ketagih! Lebih-lebih bila makan dengannasi panas.
Bahan:
- Sotong (dibersihkan dan disiat kulitnya)
- Butter (unsalted)
- 4 – 5 biji telur masin (direbus dan ambil kuningnya sahaja)
- 2 – 3 cawan Nestum Original
- Beberapa helai daun kari
- Beberapa tangkai cili merah jika mahu
- Garam, gula dan lada sulah secukup rasa
- Tepung jagung
- Satu biji telur (dikacau ringan)
Cara:
1. Bersihkan sotong dan siat kulitnya. Jaggutnya tak perlu pakai, cuma ambil daging putih bahagian badan hingga ekornya sahaja. Potong seperti cincin pastikan tidak terlalu nipis dan tidak terlalu tebal.
2. Toskan sotong dan lap dengan tisu dapur supaya kering tidak berair.
3. Taburkan secubit garam dan lada sulah ke atas sotong dan peram selama 30 minit.
4. Setelah beberapa ketika panaskan minyak, ambil satu persatu sotong celup ke dalam telur ayam dan kemudian ke dalam tepung jagung. Goreng garing.
5. Tos kesemua sotong yang digoreng di atas tisu dapur supaya tidak terlalu berminyak.
6. Dalam kuali bersih lain, cairkan 2 hingga 3 sudu butter di atas dapur kemudian masukan kuning telur masin yang sudah siap dihancurkan ke dalam kuali… gaul dan goreng untuk beberapa saat.
7. Apabila kuning telur masin sudah berbuih, masuklah daun kari, hirisan cili, gula dan nestum. Goreng sebati.
8. Sebaik nestum sudah bertukar warna keemasan, boleh masukan sotong dan gaul bersama. Siap!
Selamat mencuba! ❤️