Jenama fesyen antarabangsa popular ZARA menjadi sebutan ramai, apabila baru-baru ini tampil dengan rekaan skirt menggunakan material berupa kain pelekat, yang turut sering digayakan oleh kaum lelaki berbangsa India sekitar Asia dipanggil Lungi.
Potongan skirt itu adalah berbelah dan dihiasi perincian lipatan pada bahagian hadapan. Fabrik yang digunakan berona coklat gelap itu pula memang mirip benar dengan corak yang ada pada kain pelekat -lazim digayakan para lelaki Asia sebagai pakaian harian.
Sehubungan itu, ia menjadi bahan ketawa dan tidak ketinggalan ramai juga berpendapat bahawa ZARA sebenarnya cuba mencuri ilham tanpa memberi kredit kepada golongan asal yang memakainya.
Lebih mengejutkan harga untuk sehelai skirt yang dijual ZARA itu mencapai hingga RM359 sehelai sedangkan di sini, kain pelekat cumalah berharga sekitar RM30 sehelai. Bahkan, corak dan warna yang kain pelekat biasa lebih indah berbanding CHECK MINI SKIRT tersebut.
BACA: Bila Bungkusan Nasi Lemak, Bulu Ayam & Tali Rafia Jadi Ilham Rekaan Fesyen Berjenama
Sebelum ini banyak juga jenama popular lain yang gemar mengambil ilham daripada ciptaan orang Asia sebagai contoh, Balenciaga pernah tular kerana menghasilkan beg seperti beg selimut toto dan beg pasar bejalur manakala Hermes tampil dengan beg kepit umpama bungkusan nasi lemak.