Gincu bibir merupakan alatan solekan kegemaran penulis. Kenapa? Walau sekadar bergaya ringkas, secalit gincu di bibir mampu melengkapkan penampilan bahkan memberi warna. Orang kata kalau tak nak nampak pucat kerana tidak mekap, oles sahaja gincu nescaya anda terus kelihatan segar.
Kini, seiring dengan trend solekan semasa, gincu kini tidak hanya boleh didapati dalam bentuk olesan berkrim sahaja, muncul pula trend liquid lipstick. Menariknya, gincu jenis ini adalah formulasinya yang cepat mengering pada bibir seterusnya tidak mudah comot dan pudar seperti gincu berkrim.
Dan baru-baru ini penulis mencuba satu lagi gincu dengan formula 100% vegan.
Perkenalkan Nori Lip Color!
Jenama buatan tempatan yang menggunakan teknologi Korea untuk mengeluarkan produk mereka. Bersifat cecair, lip color ini diperbuat daripada mentega shea, minyak zaitun dan mengandungi vitamin E. Jadi, kompilasi bernas ini menjanjikan bibir mungil serta paling penting langsung tidak mengeringkan. Ia dikatakan memberi ketahanan yang lama, selesa, ringan, kelembapan dan 100% vegan.
Baiklah, disebabkan tekstur agak ringan, jadi tidak cukup dengan hanya satu calitan, penulis kena menambah ke dua hingga tiga lapisan untuk menutupi keseluruhan bibir. Walaupun dinyatakan memberi kelembapan, ternyata Nori Lip Color gagal berbuat demikian, bibir penulis terasa kesat dan kasar, pemakaian lip color ini dengan kerap atau jangka masa panjang akan merosakkan bibir iaitu mengeringkan dan seterusnya menyebabkan bibir menggelupas. Untuk itu penulis nasihatkan pengguna untuk memakai lip balm terlebih dahulu.
Didatangkan dalam 6 pilihan warna cantik seiring dengan trend terkini, anda boleh memilih mengikut mood setiap hari – Naked Latte, Blush On, Pinky Rose, Sexy Scarlet, Red Me dan Cherry Red.
Bukan semua negatif, Nori Lip Color menawarkan pembungkusan yang bersaiz kecil ala travel kit, jadi lip color ini memudahkan untuk si gadis bawa ke mana sahaja, bukan satu sahaja tetapi keenam-enam boleh diletak dalam tas tangan jika pening tidak tahu mahu pakai yang mana.
Wanista Cuba!
Naked Latte
Blush On
Cherry Red
Sexy Scarlet
Red Me
Pinky Rose
Antara keenam pilihan warna, penulis paling suka Naked Latte!
Nak Beli?
Sudah berada di pasaran sejak Disember 2017, Nori Lip Color berharga RM120 (sekarang dijual dengan harga RM96) dan boleh dibeli melalui www.nori.com.my.