Puteri Jepun, Mako dan tunangnya yang berasal daripada golongan rakyat biasa khabarnya akan menundakan upacara pertunangan rasmi serta perkahwinan mereka sehingga tahun 2020 nanti. Kata puteri itu, mereka nampaknya belum lagi bersedia untuk berkahwin meskipun sebelum ini sudah merancang untuk berkahwin lebih awal.
Mako, 26, dan pasangannya Kei Komuro, 26, telah dijadualkan untuk ditunangkan secara rasmi mengikut adat tradisi dalam sebuah majlis bulan hadapan manakala resepsinya pula dirancang untuk berlangsung pada 4 November penghujung tahun ini.
Menurut laporan yang dikeluarkan Jiji Press, mereka masih belum membuat “persediaan” yang secukupnya.
“Saya mohon maaf di atas segala permasalahan dan kesulitan yang telah berlaku, sehingga melibatkan ramai pihak yang sememangnya ikhlas untuk bantu menjayakan perkahwinan kami,” ulas Mako.
Dalam masa yang sama, agensi rumah empayar turut sempat mengeluarkan kenyataan bahawa pasangan itu tetap akan disatukan dan masih mahu berkahwin. Ia tiada kena mengena dengan khabar angin yang mengatakan bahawa pihak lelaki (keluarga Kei Komuro) sedang mengalami krisis kewangan sekaligus terpaksa membatalkan dan menangguhkan perkahwinan mereka tahun ini.
Mako sebelum ini pernah menggemparkan semua dengan keputusan nekad beliau untuk berkahwin dengan Kei Komuro yang langsung tiada darah berketurunan raja.
Menurut tradisi diraja Jepun, jika wanita daripada keluarga diraja mengahwini orang biasa, serta-merta status diraja pada diri mereka akan lucut. Hanya lelaki berketurunan raja yang bisa berkahwin dengan orang biasa dan masih kekal dalam keluarga diraja.
Mako adalah puteri sulung kepada pasangan diraja Jepun iaitu Putera Akishino dan Puteri Kiko.