Saat menjejakkan kaki ke majlis resepsi, rata-rata tetamu pasti tidak akan berhenti mencari titik keistimewaan yang diwujudkan di majlis berkenaan sama ada daripada segi konsep pelamin mahupun hiasan dewan yang gah.
Sudah menjadi lumrah juga buat si mempelai merealisasikan perkahwinan impian mereka dengan sepenuh hati sehingga ada yang sanggup berbelanja besar, bukan sahaja mengenyangkan perut tetamu dengan seleksi pilihan menu sajian enak bahkan juga ‘mengenyangkan’ mata tetamu dengan tata rias dan dekorasi yang tidak dapatdigambarkan dengan kata-kata.
Sebuah klip memaparkan kek kahwin mewah dengan ketinggian 13 kaki tersebar di media sosial dan menjadi buah mulut orang baru-baru ini.
Tonton Video Kek Perkahwinan Paling Mewah Di Kazakhstan
Kek perkahwinan berkenaan khabarnya bernilai RM696,789 dan dibuat khas untuk Amirzhan Seitzhanov iaitu cucu kepada seorang usahawan berpengaruh di Kazakhstan, Serikzhan Seitzhanov yang mengahwini Aruzhan iaitu anak buah perempuan kepada presiden Kazakhstan.
Ternyata perkahwinan mewah itu dihadiri ramai lagi undangan VVIP bahkan saat kek perkahwinan itu ditarik keluar untuk dipersembahkan kepada tetamu, ia dilihat sebagai sesuatu yang menakjubkan.
Kek seberat 1500kg itu perlu dialihkan menggunakan troli istimewa dan pembikinannya memerlukan kepakaran seorang tukang masak pastri popular Kazakhstan, Renat Agzamove, yang pernah menjuari sebuah pertandingan memasak mahsyur di Rusia.
Istimewanya kek itu juga, ia adalah berbentuk istana gergasi yang turut dihiasi dengan perincian kereta kuda dan patung pengantin yang boleh bergerak -menuruni kereta kuda dan berjalan naik menuju ke balkoni sebagai simbolik hari bahagia Amirzhan Seitzhanov dan Aruzhan.