Rata-rata rakyat Malaysia kurang ambil tahu tentang perkembangan temasya sukan Olimpik Musim Sejuk. Iyalah, kebanyakan sukan yang dipertandingkan tidak selalu dimainkan di negara tropika seperti kita. Semuanya berkaitan ais dan salji mana nak cari di Malaysia.
Buat anda yang belum tahu, pertama kalinya Malaysia berjaya menghantar dua atlet atlet ke Olimpik Musim Sejuk di Pyeongchang tahun ini!
Terkejut bukan?
Tahun 2018 ini debut pertama kali kita dapat memasukkan dua atlet iaitu Julian Yee dalam acara luncur ais dan Jeffrey Webb bagi sukan ski. Jeffrey antara atlet senior dalam acara sukan musim sejuk, sebelum ini beliau pernah mewakili negara untuk acara alpine skiing di Sukan Musim Sejuk Asia 2017 Sapporo.
Lain pula dengan subjek utama kita iaitu Julian Yee merupakan atlet luncur ais pertama Malaysia! Siapakah beliau ini yang mampu melayakkan diri ke Olimpik sekaligus bertanding dengan atlet-atlet lebih berpengalaman dalam sukan musim sejuk ini.
Memang dari ‘keluarga ais’
Pemuda berusia 20 tahun ini berasal dari ibu negara dan mula meluncur ais pada seawal 4 tahun di gelanggang ais di Sunway Pyramid. Ibu beliau merupakan naib presiden Persatuan Peluncur Ais Malaysia pada tahun 2012 hingga 2014. Julian dan ibu sering menyertai pelbagai pertandingan luncur ais bersama.
Latihan terhad
Walaupun gelanggang ais Sunway Pyramid agak terhad kerana dibuka secara awam, Julian bersama ibunya tidak putus asa membuat latihan dalam dan luar negara. Malah pada waktu cuti persekolahan beliau akan dibawa ke luar negara semata-mata untuk latihan menyeluruh. Bayangkan Julian hampir berlatih setiap hari hingga ke lewat malam!
Kejayaan
Kalau dah masuk Olimpik, beliau bukan calang-calang atlet. Lain daripada lain kerana Julian ialah atlet Olimpik Musim Sejuk. Pelbagai kejayaan telah ditempa oleh Julian sebelum menempah tiket ke Pyeongchang antara yang paling terbaik ialah meraih tempat keenam pada Kejohanan Trofi CS Nebelhorn ke-49 di Jerman Oktober 2017, berjaya dua kali ke final Juara Dunia, memenangi emas untuk Sukan SEA Malaysia tahun lepas dan kini ditangga ke-41 dunia dari 206 atlet lain.
Lihat pusingan ais Julian Yee (wajib tengok sampai habis)
https://www.youtube.com/watch?v=-MWSsPtg450
Diharapkan kejayaan Julian Yee dan Jeffrey Webb dapat membuka mata dan minda rakyat Malaysia. Sukan ais bukan untuk negara empat musim sahaja. Kita pun boleh dan Malaysia BOLEH!