Asas yang terpenting untuk menaikkan seri wajah dalam solekan adalah kulit wajah itu sendiri. Wajah akan nampak berbeza dan cantik berseri jika solekan tersebut dapat menghasilkan kulit yang flawless. Apabila “kanvas” sendiri sudah cukup sempurna, bahagian solekan yang lain juga akan terbias sama malah menjadi lebih mudah.
Walaubagaimanapun, langkah terpenting ini boleh jadi langkah yang paling sukar juga. Ramai yang melakukan kesilapan dan akhirnya wajah jadi terlalu putih nampak tebal seperti topeng atau tidak sekata.
Memahami dilema yang sering dialami ramai wanita ini, kami kongsikan beberapa tips yang boleh anda cuba.
Bersihkan wajah
Ya, sebelum mula mekap, pastikan wajah anda dibersihkan terlebih dahulu. Amalkan penggunaan skrub wajah sekurangnya seminggu sekali. Jangan sesekali mekap dengan muka yang berminyak. Bukan sahaja ia akan menyumbat liang pori yang akan mebawa kepada masalah kulit yang lain, dikhuatiri bedak anda juga akan kelihatan bercapuk.
Sapu pelembap 5-10 minit sebelum mekap
Mulakan juga dengan menyapu pelembap pada kulit, kulit yang lembap akan membantu sapuan bedak menjadi sekata dan solekan juga akan tahan lebih lama. Seeloknya sapu pelembap dan biarkan 5-10 minit sebelum mula bersolek. Jika anda mendapati kulit anda menjadi sedikit berminyak selepas sapuan pelembap, pedap dengan kertas penyerap minyak.
Jangan sesekali langkau sapuan primer
Ini bahagian solekan yang selalu diabaikan banyak wanita. Sapuan primer penting untuk menjadikan permukaan wajah menjadi licin , menutup pori dan memudahkan sapuan bedak asas. Primer juga dapat mengatasi masalah sapuan bedak tidak rata selain menjadikan solekan tahan lebih lama.
Jangan sapukan bedak asas secara berlebihan
Ingat, dalam mekap, sentiasa amalkan prinsip less is more. Jangan gunakan bedak asas untuk menutup cela. Antara kesilapan wanita dalam bersolek ialah menyapu bedak asas yang banyak dengan tujuan untuk menutup cela. Kalau ia berjaya sekalipun, namun anda secara tidak langsung telah menampah ketebalan bedak anda dan hasilnya wajah anda akan kelihatan seperti menyapu tepung gomak kerana kuantiti bedak ynag berlebihan. Tutup cela dengan concealer bukan dengan bedak asas dan sapu concealer pada bahagian cela sahaja bukan keseluruhan wajah.
Pakai concealer selepas bedak asas
Tutup cela dengan concealer sebelum selepas sapuan bedak asas. Kemudian barulah blend dengan bedak asas.
Warna yang betul
Ini adalah kunci supaya hasil solekan jadi lebih semulajadi. Ketika membeli bedak, cuba dulu pada leher ( dan bukannya pada tangan kerana kulit tangan tidak sama dengan wajah. Cuba sekurangnya 3 tona dan pilih warna yang paling hampir dengan warna kulit asli anda. Bedak asas yang ‘hilang’ pada wajah tanpa perlu blending adalah yang paling sesuai.
Pencahayaan
Pencahayaan terbaik untuk percubaan seperti ini adalah bawah cahaya matahari namun agak sukar mendapatkan pencahayaan seperti ini kerana kedai yang menjual kosmetik selalunya berlokasi dalam bangunan berhawa dingin. Jadi pastikan pencahayaan cukup terang dan lampu putih bukan kuning.
Sapuan pada leher dan telinga
Jangan lupa sapu pada telinga dan leher juga supaya tidak nampak perbezaan tona ketara. Sebelum keluar, bandingkan juga tangan dan muka anda, jika nampak terlalu besar perbezaannya, kami rasa anda tentu telah tersalah teknik.
Selamat Mencuba!