Ciri fizikal paling utama untuk menjadi seorang model ialah dari aspek ketinggian. Boleh dikatakan model wajib mempunyai ketinggian 175 sentimeter dan keatas.
Rasanya tidak adil untuk diberikan kerjaya model pada mereka yang tinggi sahaja. Manusia juga seperti kanvas kosong dan subjektif. Jadi rasanya tidak adil hanya peragakan baju yang dipakai oleh pelbagai bentuk badan pada satu subjek sahaja.
Bagi anda yang berkira-kira untuk menjadi seorang model tapi risau dengan tinggi tak cukup, Ketahuilah industri fesyen kini sepatutnya lebih terbuka menerima seorang peraga gaya dengan berketinggian 155 sentimeter dan bawah. Namun untuk menjadi seorang model bukan sahaja cantik, berkeyakinan tapi anda perlu mempunyai satu identiti atau keunikkan tidak seperti orang lain.
Mari kita lihat beberapa supermodel bersaiz kecil yang berjaya menyelinap dalam industri fesyen.
#1 Devon Aoki / 160 cm
Macam pernah nampak tapi dimana ya? Filem 2 Fast 2 Furios menampilkan Devion sebagai pelumba kereta wanita. Beliau mula berjalan di pentas peragaan pada usia 13 tahun dan betapa hebatnya Devion dapat menggantikan Naomi Campbell sebagai wajah Versace. Selain itu, Devion pernah bekerja bersama Chanel dan Lancome.
#2 Lily-Rose Depp / 160 cm
Model yang lahir pada tahun 1999 ini merupakan anak perempuan kepada aktor Johnny Depp dan Vanessa Paradis. Lily bukan sahaja berjalan untuk Chanel malah menjadi muse untuk Karl Lagerfald, muncul dalam pelbagai majlis kenamaan dan kempen Chanel.
#3 Twiggy / 164 cm
Ikon fesyen paling diingati ramai, Twiggy yang hanya tinggi 164 cm dan supermodel pertama paling rendah. Menariknya tentang Twiggy ialah gaya yang dibawa sangat berbeza pada sekitar 60-an. Potongan rambut pendek (boyish), bulu mata palsu dan bertubuh kecil. Wajah Twiggy sentiasa menjadi muka rias majalah fesyen Vogue.
#4 Kate Moss / 168 cm
Jaga-jaga, ratu supermodel dan juga kawan baik kepada Naomi Campbell ini bukanlah tinggi sangat pun! Kejayaan yang ditempa selama 20 tahun dalam industri modeling bukanlah dari fizikal tinggi semata-mata. Kate Moss kini mempunyai agensi model terkemuka miliknya sendiri dan sehingga sekarang masih aktif dalam aktiviti peragaan.
#5 Laetitia Casta / 168 cm
Supermodel asal Perancis ini pernah menjadi wajah kepada jenama Dior, L’Oreal dan Chanel. Malah Laetitia juga antara Angels Victoria’s Secret! Walaupun dianggap berketinggian sederhana, hasil walk dan gambar kempen dari Laetitia melebihi 100 feature.
#6 Sofia Richie / 168 cm
Bertuah badan itulah terjadi kepada anak kepada pemuzik dan penyanyi Lionel Richie. Mula karier model pada umur 14 tahun kini beliau telah berkolaborasi dengan Chanel, Tommy Hilfiger, Dolce & Gabbana, Michael Kors, Adidas dan banyak lagi. Bukan sahaja rendah, malah badan Sofia juga dikira montok dengan seberat 58 kilogram.
Jika sekarang orang lain sedang sibuk dengan plus-size model bagaimana pula dengan model yang bersaiz petite atau kecil. Adakah kami yang badan kecil molek berpeluang untuk menjadi seorang supermodel?