Penggemar seni kebudayaan tanah air akan disajikan dengan Le French Festival (LFF), acara tahunan Perancis yang terbesar dan terkemuka di Malaysia. Seperti tahun-tahun sebelumnya, acara tahunan ini akan mempersembahkan beberapa program termasuk tayangan filem, konsert muzikal, teater dan persembahan langsung, pesta makanan, dan lain-lain lagi.
Selaras dengan hasrat untuk menampilkan keluaran terkini yang menarik dan unik setiap tahun, LFF 2018 akan berlangsung selama 5 minggu, bermula pada 12 April sehingga 20 Mei 2018. Buat pertama kalinya, program yang dianjurkan adalah lebih padat dengan sekurang-kurangnya satu program dijalankan dalam satu hari.
Seperti tahun-tahun sebelumnya, festival filem ini akan berlangsung di Lembah Klang dan Pulau Pinang. Pada tahun ini, festival ini akan mengembangkan sayapnya ke Johor Bahru, selepas kejayaan penganjuran di Kota Kinabalu buat kali pertama pada tahun lepas.
https://www.instagram.com/p/BgiQc01gqun/?taken-by=wanistadotcom
LFF 2018 kali ini akan mempersembahkan bakat generasi baharu Perancis serta meraikan golongan muda dengan trend dan hiburan semasa terus dari Perancis, termasuk:
- Tayangan 16 filem terbaharu untuk Festival Filem (dengan sari kata berbahasa Inggeris),
- Persembahan beberapa artis muzikal, termasuk kumpulan muzik dengan pengiktirafan antarabangsa dari Perancis,
- Persembahan teater secara langsung dan pameran fotografi,
- Dan beberapa acara Art de Vivre lazim seperti sesi merasa makanan & minuman bersama Martell, kelas memasak, dan sebagainya.
Antara sorotan menarik LFF2018 termasuk:
- ‘Amok’ – adaptasi teater Perancis daripada novel Stefan Zweig (bertempat di Malaysia, pada permulaan kurun ke-20),
- Kumpulan rock trio Lysistrata – kumpulan muzik dengan beberapa pengiktirafan dan antara penghibur terkemuka di beberapa festival besar di Perancis,
- Duo Jatekok, antara penghibur duet muzik klasik dan piano jazz yang terbaik dalam generasinya,
- Persembahan muzikal tentera laut Perancis, Bagad de Lann Bihoué dari wilayah Brittany, dengan 30 pemuzik yang mengalunkan muzik daripada beg paip dan dram.
Untuk maklumat lanjut, sila kunjungi www.lefrenchfestival.com.my atau di laman Facebook rasmi facebook.com/lefrenchfestivalmy.