Penyanyi hebat Celine Dion terpaksa membatalkan persembahan selama tiga minggu di Las Vegas, Amerika Syarikat.
Walaupun berat hati, Celine terpaksa membuat keputusan itu bagi menjalani pembedahan di telinganya.
Penyanyi yang popular dengan lagu My Heart Will Go On itu disahkan ada masalah pada bahagian tengah telinga dikenali sebagai tiub Patulous Eustachian.
Masalah itu menyebabkan pendengarannya tidak teratur sekali gus menyukarkannya untuk menyanyi.
Sehubungan itu, Celine diminta menjalani pembedahan kecil bagi membetulkan masalah pendengarannya.
Persembahan Celine sepatutnya berlangsung dari 27 Mac hingga 18 April ini di The Coloseum, Caesars Palace.
Dia dijangkakan kembali menjayakan persembahan itu pada 22 Mei nanti.
Menurut Celine, dia sememangnya berat hati dan mahu beraksi mengikut jadual ditetapkan. Menurutnya, dia sendiri tidak menjangka perkara malang itu dan memohon maaf kepada peminatnya.
“Tuah nampaknya tidak menyebelahi saya kebelakangan ini. Saya sebenarnya sudah tidak sabar mahu beraksi di pentas semula dan tiba-tiba perkara ini berlaku.
“Saya benar-benar tidak boleh mempercayainya! Saya minta maaf kepada sesiapa juga yang merancang ke Las Vegas semata-mata untuk menonton persembahan saya.
“Saya faham bagaimana rasa kecewa itu. Maafkan saya,” katanya.
Celine dilaporkan berhadapan dengan masalah pendengaran lebih 12 bulan dan cuba mengambil rawatan menerusi ubat. Bagaimanapun, ubat berkenaan tidak lagi berkesan untuk telinganya dan akur pembedahan satu-satunya jalan terakhir.
Disebabkan pembatalan itu, semua wang pembeli tiket bakal dikembalikan semula oleh penganjur.