Cerita tentanng rumah ini pernah menjadi viral suatu ketika dahulu kerana memiliki perincian binaan yang unik apabila memanfaatkan sayap kapal terbang model boeing 747 untuk dijadikan atap rumah di sebuah kawasan bergunung daerah Utara-Barat Malibu, California.
Siap dibina sekitar tahun 2011, rumah yang dikenali sebagai “747 Wing House” ini adalah milik seorang usahawan yang merupakan bekas pengedar kenderaan mewah Mercedes Benz, Francie Rehwald.
Jom Wanista ceritakan lebih lanjut tentang asal-usul rumah beratapkan sayap pesawat ini.
Menurut sumber, pemilik rumah itu menghabiskan lebih 15 tahun untuk mencari lokasi yang bersesuaian untuk menjadi tapak rumah unik impiannya itu.
Tonton “Extraordinary Homes” Bawa Penonton Selami Keindahan Rumah Sayap 747
https://youtu.be/Nm9oL74iX5A?t=3m48s
Pernah merangkul anugerah, rekaan rumah ini diinspirasikan daripada elemen feminin belekuk oleh seorang arkitek ternama, David Hertz, yang bijak menggunakan bahan buangan kitar semula berasaskan logam.
Tersergam indah di atas kawasan gunung-ganang menghijau seperti dalam set filem “The Sound of Music”, Francie telah terpengaruh dengan cadangan arkiteknya untuk membeli sayap pesawat boeing yang sudah tidak beroperasi itu dan telah menelan kos hampir RM120,000 semata-mata untuk mendapatkan sekeping sayap untuk dijadikan binaan.
Rumah Induk
Dikelilingi alam semula jadi yang indah, Francie dan David akhirnya memutuskan untuk mengunakan tetingkap cermin jernih untuk mencetuskan aura sensasi di samping panel besi yang didirikan sebagai tembok.
Jika diperhatikan, rumah ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu rumah induk dua tingkat -berada di atas manakala ada satu lagi rumah tumpangan setingkat yang disambung ke kawasan bawah, dibina khas untuk tetamu yang mahu bermalam.
Rumah Tumpangan
Rumah induk memiliki dapur bersebelahan dengan ruang tamu utama. Bahagian atas rumah sayap ini pula ada menempatkan satu bilik tidur utama berserta kamar mandi. Tidak ketinggalan, bahagian atas rumah ini juga dikelilingi tetingkap kaca untuk membolekan penghuni menikmati pemandangan luar biasa tanpa sebarang halangan.
Jangan terkejut, penghuni bisa sahaja melangkah keluar menerusi balkoni bilik atas untuk meniti di atas atap sayap pesawat yang menutup tingkat bawah rumah bagi melihat panorama mempersona secara lebih dekat sambil menghirup udara segar.
Dibentangkan di atas kawasan seluas 22 hektar, rumah ini merupakan kawasan paling tepat untuk melihat suasana senja matahari terbenam.
Apa pendapat korang? ❤