Nine West Holdings Inc. yang merupakan jenama kasut terkemuka antarabangsa ini akhirnya memutuskan untuk memfailkan kemuflisan sekaligus merancang bagi menjual sebahagian asetnya serta beberapa bahagian dalam syarikat selepas sekian lama menanggung pelbagai hutang yang dianggarkan berjumlah AS$1.5 billion.
Menurut Washington Post pula, syarikat yang berpangkalan di New York itu berkata mereka terpaksa menamatkan penjualan jenama kasut itu sebaliknya meletakkan tumpuan yang sepenuhnya terhadap perniagaan pakaian serta aksesori termasuklah jenama Anne Klein, Kasper Group dan One Jeanswear Group.
Orang Zaman Sekarang Lebih Gemar Sneakers
Beberapa tahun ini, Nine West mengalami kesukaran untuk menarik minat pelanggan melihatkan arus fesyen yang telah berubah di mana, terdapat penurunan terhadap permintaan kasut rendah ballet, tumit tinggi dan sandal kerana sejak beberapa tahun ini, pemakai lebih gemar membeli kasut atletik jenis sneakers.
Penganalisis perniagaan juga ada menyebut betapa banyak pusat membeli-belah dan gedung yang mengedarkan produk rekaan Nine West juga terkena tempias dalam kejatuhan sasaran jualan.
Antara Pemegang Hutang Paling Banyak Dalam Sejarah Industri Runcit
Nine West yang dipegang oleh sebuah firma ekuiti persendirian, Sycamore Capital, bakal menjual Nine West serta satu lagi jenama kasut dan beg tangan dipanggil Bandolino kepada Authentic Brands Group -merupakan sebuah syarikat yang banyak menguruskan jenama fesyen terkemuka seperti Neil Lane, Frye, Aeropostale dan Juicu Couture.
Video Pengenalan Koleksi Tumit Tinggi Nine West Untuk Musim Bunga/Panas 2018
“Ini adalah langkah tepat unntuk meningkatkan kembali kegemilangan dua jenama berkenaan,” jelas Ralph Schupani, Ketua Pegawai Eksekutif Nine West Holdings dalam sebuah kenyataan.
Terima Nasib Sama Seperti Toys”R”Us
Sebelum ini, syarikat pengeluar dan pengedar permainan popular, Toys”R”Us turut diisytihar muflis sekitar September tahun lalu gara-gara perubahan trend di mana kanak-kanak zaman sekarang tidak lagi bermain dengan permainan fizikal.