Siapa sangka, bintang pop berusia 48 tahun ini akhirnya bakal mengeluarkan rangkaian kosmetiknya sendiri bersama Inglot dan ia dijangka menampilkan lebih 70 produk termasuklah palet pembayang mata, gincu, bronzer, pemerah pipi, maskara dan bedak.
Menurut sumber, Jennifer Lopez berminat untuk terjun ke bidang perniagaan kosmetik sejak akhir-akhir ini kerana seperti yang kita semua tahu, beliau sebelum ini pernah menimba pengalaman bekerjasama dengan syarikat kosmetik gergasi L’Oreal Paris selama beberapa tahun malah turut pernah menghasilkan wangian sendiri yang berjaya mendapat pulangan berjuta dollar.
Koleksi kosmetik peribadinya yang dibangunkan bersama jenama kosmetik Poland iaitu Inglot Cosmetics akan berada di pasaran sekitar penghujung April nanti.
Jelas JLo, “Ini adalah perkara yang sudah lama saya mahu lakukan. “Memiliki rangkaian kosmetik sendiri adalah mengujakan kerana selama ini ramai yang bertanya tentang mekap apa yang saya gunakan sehari-hari dan apakah rahsia yang saya amalkan untuk kekal berseri,” tambahnya.
Peka tentang permintaan semua, JLo sempat menerangkan betapa dia amat mementingkan kualiti dari pemilihan warna hinggalah kepada ramuan yang digunakan. JLo juga mengambil kira tentang harga dan oleh sebab itu beliau memilih untuk berkolaborasi dengan Inglot supaya dapat menawarkan item pada harga mampu milik.
Nampaknya, JLo bakal menyertai persaingan hebat dunia perniagaan kosmetik yang diusahakan selebriti ternama lain seperti Fenty Beauty oleh Rihanna, KKW Beauty oleh Kim Kadarshian dan Kylie Cosmetics oleh Kylie Jenner.