Rasanya, perkara ini boleh dikaitkan dengan diri kita sendiri… baik lelaki mahupun perempuan, kita semua tak boleh lari daripada situasi di mana orang lain memerlukan bantuan daripada kita betul tak? Lagi payah bila kita sukar sangat untuk mengucapkan kata “TIDAK” gara-gara tak mahu pihak yang lagi satu itu kecil hati dan sebagainya.
Jadi persoalannya di sini, siapa yang bermasalah sebenarnya? Kita yang terlalu sukar untuk menolak permintaan orang atau orang yang sentiasa mengharapkan kita berkata “YA” itu?
Pada dasarnya, memang menjadi tanggunjawab kita untuk membantu orng yang berada di dalam kesusahan namun yang menimbulkan masalah apabila kita terlalu mementingkan orang sehingga diri yang merana kemudian. Terlalu asyik berkata ya semata-mata mahu menjaga hati orang dan melihat orang itu gembira, kita pula yang terpaksa mengorbankan masa kita untuk berehat dan hasilnya, jadual harian kita semakin padat tetapi untuk apa? UNTUK PUASKAN HATI ORANG LAIN. Ha, rugi tak?
Orang Yang Berjaya Tak Takut Untuk Menolak Dan Berkata “Tak”!
Oprah Winfrey pernah bercerita betapa sukarnya dia untuk mengatakan tidak kepada orang lain dahulu. Namun semakin hari, dia mulai sedar bahawa pentingnya untuk kita menetapkan pendirian dan menjadi berani supaya kita memenuhi keperluan kita dahulu sebelum orang lain. Kadang-kala, kita perlu mengasihani diri kita sekaligus berhenti memuaskan hati orang lain semata-mata.
Usahwan ternama, Warren Buffett juga menyifatkan perkataan “TIDAK” itu sebagai pendukung kejayaannya. “Beza antara “Orang yang berjaya” dan “Orang yang sangat berjaya” adalah… orang yang sangat berjaya katakan TIDAK pada hampir semua perkara”, jelasnya.
Ini kerana, kita hanya perlu fokus pada skop yang kecil dan melakukannya dengan bersungguh-sungguh.
Kenapa Susah Untuk Berkata Tidak?
Kita sudah dibiasakan daripada kecil untuk menjawab ya sepanjang masa. Kita berkata ya untuk tetap pergi sekolah setiap hari untuk berjaya dalam akademik, kita berkata ya walau permintaan majikan itu sukar dipenuhi demi mendapatkan kerja, kita berkata ya kepada segala suruhan orang atasan supaya dapat naik pangkat, kita berkata ya kepada pasangan agar sentiasa kekal dalam perhubungan cinta. MESKIPUN KITA PERLU RASA SAKIT DAN PERIT.
Walhal, tekanan yang diberikan itu bukanlah datang dariapda orang lain tetapi diri kita sendiri yang meletakkan tekanan itu dengan berkata YA sedangkan diri kita tidak mahu pun. Cuba kalau kita berani berkata tidak, pasti semuanya berjalan lancar dan kita dapat ‘bernafas’ dengan mudah kan?
Cara Untuk Berkata “Tak” Bila Bibir Terlalu Mudah Untuk Jawab “Ya”
#1 Periksa ‘Meter’ Kewajiban Anda
Anda berkata ya kerana takut perkataan tidak itu akan memberi impak negatif pada diri? Kaji semula kewajiban diri anda. Tanya pada diri sendiri sama ada “Perlu ke aku jawab ya pada permintaan si fulan?” Jika anda berasa kurang senang dan berdolak-dalik, itu bermakna anda meraguinya dan jawapan yang paling tepat untuk diberikan kepada pihak yang satu lagi adalah TIDAK.
#2 Kaji Anggapan Anda Tentang Berkata Tidak
Takut berkata tidak kerana bimbang apa yang orang akan fikir? Tetapkan dalam kepala yang berkata TIDAK itu sebenarnya perlu demi menyelamatkan situasi anda dan diri anda.
#3 Atasi Ketakutan Untuk ‘Ditinggalkan’
Ramai orang terpaksa menjawab ya kerana mereka takut dipulaukan oleh orang yang berkenaan. Di tempat kerja umumnya, kita asyik menurut perintah orang atasan kerana takut mereka akan menganggap anda pemalas dan sebagainya… meskipun kita tidak rela dan banyak lagi hal peribadi lain yang perlu diselesaikan.
Periksa diri anda, sama ada anda menjawab ya itu kerana anda benar-benar ikhlas atau kerana mahukan perhatian orang yang berkenaan?
#4 Relaks & Fikir Dulu
Contohnya, jika kawan baik mengajak anda keluar tetapi realitinya anda sudah kepenatan, jangan terus menjawab pertanyaan kawan anda tu. Minta dia beri masa. Fikir dahulu dan apabila sudah pasti jawapannya, barulah beri respon.
Kadang-kala apabila anda berkata ya terlalu cepat, sebenarnya hati anda tidak rela pun. Mulut yang lekas berkata ya kerana mungkin ingin menjaga hati si kawan tu.
#5 Jawab Tidak & Tolak Cara Lembut
Bila dah fikir masak-masak dan bersedia untuk kata tidak, pergi di hadapan mereka dan katakan tidak berserta alasan dengan jelas supaya mereka faham. Terangkan alasan anda supaya mereka faham dan tidak terus mengharapkan anda.
Cara lain, ambil kembali hati mereka dengan berkata “Ya… tetapi…” sertakan sekali alasan anda. Ini menunjukkan yang anda tidak mereka bulat-bulat tetapi terpaksa menolak kerana ada hal yang lebih utama dan tidak dapat dielak.
Apa yang penulis boleh katakan, lepas ni kalau hati tak rela, jangan paksa untuk cakap YA. Cakap je TIDAK terus terang. Okay? ❤