Malu rasanya bila ke pasaraya atau pusat membeli-belah terdengar ibu bapa terjerit-jerit memarahi anak-anak mereka. Sampaikan kita pula yang rasa tidak ‘sedap’ bila melihat situasi janggal dan tegang itu berlaku. Iya faham, memang ada ibu bapa kadangnya tidak boleh mengawal keletah anak mereka yang sedikit nakal.
Namun adakah dengan jeritan si anak akan turut patuh? 75% darinya adalah tidak dan selebihnya hanya 5 minit sahaja dan selepas itu mereka kembali huru-hara.
Jadi bagaimana agaknya anda untuk mendisiplin anak tanpa memerlukan tenaga suara yang kuat? Mari Wanista klasifikasikan tiga perkara utama dalam mendidik anak tanpa perlu menjerit.
#1 Beri Amaran
Beri amaran terhadap si anak dan kesan apabila dia melakukan kesalahan. Cukup dengan peraturan tegas yang dipupuk sejak dari rumah lagi. Beri anak faham akibat dari berbuat perkara yang dilarang. Bila anak melanggar peraturan, anda jangan mudah untuk menjerit, membebel atau memberi ceramah terus sahaja menghukum seperti mana yang telah dijanjikan. Contohnya, “Aiman kalau kamu main lagi bola ke dinding, ibu simpan bola itu” dan si anak berdegil, terus sahaja simpan bola itu tanpa memarahi. Itu namanya tegas.
#2 Pujian
Kalau anak anda bersikap baik dan patuh dengan peraturan yang diberi, tak salah rasanya untuk memberi pujian dan kata motivasi. Ia dapat merangsang psikologi positif buat anak untuk terus mengikut dan melaksana peraturan. Jika anak anda payah untuk mendengar kata, cuba sediakan satu sistem ganjaran. Sebagai contoh, jika dia berjaya mengemas alat permainan, anda akan membawa dia ke makan malam luar. Anda pun kenalah tunai janji!
#3 Konsisten
Cara untuk elakkan anda menjerit dan membebel ialah dengan konsisten dari tips dua diatas. Anda juga perlu disiplin dalam mendidik anda dan teruskan cara ‘beri amaran’ sehingga kelakuan anda berubah. Biarlah si anak dihukum dengan melakukan kerja rumah atau didenda tanpa alat permainan daripada terkesan dari jeritan amarah anda. Cara ini lebih efektif dalam membesarkan anak.
Semoga artikel ini serba-sedikit membantu anda sebagai ibu bapa.