Bakal Menteri Kewangan, Lim Guan Eng memberitahu pemansuhan GST hanya akan diberitahu kelak selepas beliau sah memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan Malaysia yang baru sebaik selesai mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertuan Agong dalam masa terdekat.
Melihatkan keadaan rakyat yang semakin tidak sabar untuk Cukai Barangan dan Perkhidmatan GST dimansuhkan serta-merta, Lim Guan Eng menyeru supaya rakyat bertenang dahulu dan memberi sedikit masa lagi sehingga jawatannya disahkan oleh Yang Dipertuan Agong.
Sebelum ini, pemansuhan GST telah disenarai sebagai salah satu Manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 oleh Pakatan Harapan.
“Pakatan Harapan (PH) tidak akan sekali-kali melupakan janji untuk memansuhkan GST. Biar kami uruskan tentang hal berkenaan sebaik selepas saya sah memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan yang baru”, tambahnya dalam satu kenyataan.
Sebuah sumber turut menyatakan bahawa cukai GST (Goods and Services Tax) selepas ini akan diganti kembali dengan cukai SST iaitu Cukai Jualan dan Perkhidmatan (Sales and Services Tax) berpandukan Akta Cukai Jualan 1972 dan Akta Cukai Perkhidmatan 1975.