Pengumuman tentang pemansuhan cukai barang dan perkhidmatan (GST) sudah menjadi tanya-tanya rakyat sejak Pakatan Harapan menerajui negara. Umum kita tahu rakyat Malaysia telah menanggung GST dengan kadar 6% yang telah diperkenalkan pada 1 April 2015.
Semalam, Kementerian Kewangan mengeluarkan kenyataan rasmi iaitu bekalan barang dan perkhidmatan yang dibuat di Malaysia serta diimport dengan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar enam peratus akan dikenakan GST pada kadar sifar berkuat kuasa 1 Jun ini.
Namun harus difahamkan kadar terbaru ini tidak meliputi barang dan perkhidmatan yang disenaraikan di Perintah Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pembekalan Dikecualikan) 2014 yang kekal dikecualikan daripada GST.
Langkah pengenaan GST pada kadar sifar itu akan terpakai di seluruh negara sehingga dimaklumkan kelak dan peniaga yang berdaftar juga masih tertakluk kepada semua peraturan semasa yang ditetapkan, antaranya berkenaan pengeluaran invois cukai, penghantaran penyata cukai di dalam tempoh bercukai yang ditetapkan dan tuntutan kredit cukai input.
Sebarang penjelasan lanjut dan kekeliruan, anda boleh menghubungi dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia di talian 1 300 88 8500 atau 03-78067200 (Pusat Panggilan Kastam).
Diharapkan peniaga dapat mematuhi arahan baru ini, jangan ada pula buat degil masih menaikkan harga barang secara sesuka-hati.