Sebelum ini, telah tersebar beberapa keping gambar yang memperlihatkan koleksi beg tangan mewah jenis Hermes Birkin yang menurut sumber adalah himpunan beg tangan milik isteri mantan Perdana Menteri Malaysia, Datin Rosmah Mansor.
Warga internet termasuklah pengguna Whatsapp umumnya seraya terkejut melihat foto tersebut sambil membilang anggaran jumlah kos kesemua beg tangan mewah itu jika benar itu adalah hasil perbelanjaan yang boros milik Rosmah.
Namun, dalam kesibukan warga tempatan memperdebatkan isu tersebut, sebuah gedung Instagram “shopfirstluxury” milik usahawan aksesori mewah Singapura tampil memberi keterangan kepada umum bahawa foto tersebut adalah milik dia. Khabarnya, foto tersebut telah digunakan sebagai bahan untuk menghangatkan khabar angin berhubung isu rampasan barangan milik Datuk Seri Najib Tun Razak dan ahli keluarganya yang dikaitkan dengan 1MDB.
Pihak First Luxury berkata, “Saya tidak tahu bila dan bagaimana semua ini bermula sejak awal minggu lalu. Seorang rakan saya dari Malaysia memaklumkan saya berkenaan hal itu kerana rata-rata saluran media tempatan di Malaysia banyak memuat naik foto yang sebenarnya foto milik saya.
“Kami ada cuba menghubungi beberapa saluran media di sana (Malaysia) tetapi tiada yang memeberi respon dan terkini foto tersebut sudah tersebar hingga ke Indonesia.
“Jika ada sesiapa yang menerima foto tersebut, tolong jangan sebarkannya lagi. Ternyata ramai pelanggan saya terdahulu yang pernah melawat gedung jualan saya tahu di mana sudut tempat foto itu dirakam.
“Dalam era informasi, jadilah pembaca dan penerima berita yang berhemah dan sila berfikir dua kali sebelum menyebarkan sesebuah berita yang baru diterima kepada kenalan mahupun kaum keluarga,” tambahnya.
Sebelum ini, Star Online ada melaporkan bahawa imej lain yang memperlihatkan enam utas jam tangan Rolex adalah foto yang diambil dari media sosial Pinterest. Manakala, foto beg dipenuhi wang tunai dolar AS itu pula sebenarnya merupakan foto lama hasil sebuah kes rompakan yang pernah berlaku sekitar 2016 dahulu di Amerika.