Ini mungkin merupakan berita gembira yang dinanti ramai, terutamanya golongan pemuda yang sering dibeban dengan isu kewangan.
Menteri Pelajaran Malaysia yang baharu mengumumkan bahawa pembayanran balik pinjaman pelajaran dari Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) boleh ditunda selagi gaji peminjam belum mencecah RM4,000.
Perkara itu disahkan sendiri oleh Dr. Mazlee Malik berikutan ini adalah salah satu janji dalam manifesto yang pernah disebut Pakatan Harapan di mana, ia akan dikotakan dalam masa 100 hari pemerintahan awalnya.
“Kami juga akan melangsungkan sebuah mesyuarat untuk berbincang dengan Jabatan Imegresen berkenaan nama-nama peminjam yang telah disenarai hitam supaya nama mereka dibersihkan kembali membolehkan mereka ke luar negara, “ tambahnya dalam satu kenyataan.
Pengumuman itu dibuat dalam majlis penyerahan tugas rasmi kepada Dr. Mazlee semalam. Yang juga hadir sama dalam majlis tersebut adalah mantan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Idris Jusoh, seperti yang dilaporkan StarTV.
Terdahulu, Pakatan Harapan ada menyebut tentang pembayaran balik hutang PTPTN akan ditunda sehingga individu peminjam mempunyai gaji bulanan mencecah angka RM4,000. “Namun penundaan bayaran balik ini tidak bermaksud kamu boleh sewenangnya melupakan hutang, ia tetap perlu dibayar sebaik gaji sudah mencecah RM4,000 dalam masa yang akan datang”, katanya.
Walau bagaimanapun, peminjam dan semua graduan baru harus sentiasa berusaha menyelesaikan hutang tertunggak mereka secepat mungkin. Hal ini diwujudkan dengan memberi tempoh pembayaran balik yang lebih panjang kepada peminjam adalah berikutan keadaan ekonomi semasa dan tekanan rakyat dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup.