Siapa sangka perkampungan nelayan di Besut mampu melahirkan juara dunia dalam Pertandingan Pembangunan Sumber Manusia Untuk Tenaga Nuklear yang diadakan di Gyeongju, Korea Selatan, petang kelmarin.
Ketiga-tiga pelajar tersebut adalah, Muhammad Syazwan Mat Sidik, 19 tahun, Muhammad Anuar Abd Ghani, 19 tahun, dan Safyyah Muhammad Nasir, 18 tahun dan guru, Wan Zul Azri Wan Mohd Shatar.
Guru Penyelaras Projek, Wan Zul Azri Wan Mod Shatar berkata, segala susah payah pasukan itu berbaloi dengan kejayaan itu dan beliau secara peribadi menyifatkan kejayaan itu sebagai kemuncak kecemerlangannya sepanjang berkhidmat dalam bidang perguruan selama ini.
“Sebenarnya saya sendiri hampir berputus asa dengan 1,001 dugaan sepanjang menyertai pertandingan ini. Kami perlu melalui 3 fasa dalam pertandingan ini di mana fasa pertama disertai 188 pasukan dari 30 buah negara. Alhamdulillah, pasukan kami terpilih untuk fasa ke-2.
Ketua Rombongan yang juga guru SMK Kuala Besut, Faizu Abd Rahman yang berada di Korea berkata kejayaan itu amat membanggakan kerana Malaysia bukanlah sebuah negara pengeluar tenaga nuklear tetapi pelajar mampu bersaing dengan pasukan negara lain yang lebih maju.
Katanya, bagi memberi keyakinan kepada pelajar, pada peringkat awal mereka didedahkan dengan pelbagai aktiviti dan turut serta menyertai kempen berkaitan nuklear bersama komuniti setempat di Pulau Perhentian terutama apabila pelancong luar negara hadir ke kawasan sekitar.
Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, Shafruddin Ali Hussin yang turut melahirkan kegembiraan atas kejayaan tersebut berkata Pegawai Pendidikan Daerah Besut akan berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk menjemput kepulangan pasukan itu dari Korea, esok.
“Mereka dijangka tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Kelantan pada 9.00 malam Sabtu ini sebelum pulang ke Kuala Besut.
“Saya difahamkan, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik juga akan datang berkunjung ke SMK Kuala Besut untuk melihat sendiri perkembangan di sekolah itu dalam masa terdekat,” katanya.
Untuk rekod, kejayaan pelajar SMK Kuala Besut di peringkat dunia ini bukanlah yang pertama bagi Terengganu kerana negeri ini banyak melakar kejayaan berprestij diiktiraf dunia selama ini.