Industri fesyen dikejutkan dengan kematian pereka fesyen Kate Spade, 55, pada awal pagi Selasa.
Menjadi bertambah tragis apabila beliau disahkan meninggal dunia dalam satu insiden yang mirip dengan tindakan bunuh diri.
Memetik kenyataan pihak berkuasa, pereka ikonik itu ditemui mati dalam kediaman apartmennya di New York pada jam 10.20 pagi waktu tempatan.
Spade sempat meninggalkan sekeping nota kepada anak perempuannya yang berusia 13 tahun sebelum menggantung dirinya. Jasad mendiang ditemui oleh pembantu rumahnya.
Tular di media sosial, rata-rata orang ramai membuat kesimpulan tindakan Kate Spade membunuh diri kerana sengsara kemurungan.
“Ia tidak adil untuk membuat spekulasi mengapa Kate Spade meninggal dunia akibat bunuh diri, tetapi jelas bahawa dia sedang bergelut, kita tunggu sahaja laporan penyiasatan untuk kes ini,” jelas Julie Cerel, President American Association of Suicidology.
Kate memulakan kariernya pada tahun 80-an dengan bekerja di sebuah penerbitan majalah wanita Mademoiselle di Manhattan. Dia berpindah bersama Andy Spade iaitu, abang kepada pelawak selebriti David Spade.
Pasangan itu bertemu di kolej ketika Kate pernah bekerja di sebuah butik pakaian. Kate dan Andy telah melancarkan koleksi beg tangan Kate Spade pada tahun 1993, dan ia telah berkembang sepenuhnya menjadi rangkaian pakaian dan barangan kemas. Kate dan Andy berkahwin pada tahun 1994.