Pelik, semakin hari semakin ramai pereka yang berani menampilkan idea enteng untuk mencipta sensasi dalam kalangan peminat fesyen. Terbaharu adalah seluar jeans yang ini.
Dijual menerusi gedung fesyen atas talian Opening Ceremony, seluar jeans seksi rekaan Bless ini menampilkan potongan jeans mirip Levi’s 501s namun apa yang membuatkan orang berkerut apabila melihatnya adalah kerana ia dilengkapi fabrik jaring karang di sebelah bahagian kanan seluar hingga menampakkan keseluruhan sisi kaki.
Hmm… apakah motif pereka untuk mewujudkan rekaan seumpamanya?
Manakala di bahagian hadapan zip seluar pula, sedikit perubahan dibuat apabila butangnya disengetkan ke sebelah kiri untuk mencipta satu ilusi eksentrik buat si pemakai.
Mungkin sudah menjadi trend ikutan semasa untuk musim kali ini kerana sebelum kemunculan jeans berpanel jarang tersebut, ada juga rekaan seluar jeans lain yang kelihatan pelik seperti “Jeans Rangka” dan “Jeans Punggung Koyak”.
Apa-apa pun, penulis yakin hanya mereka yang mempunyai keberanian tinggi seperti Kylie Jenner sahaja yang mampu menyarungkan jeans sebegini. Kalau sanggup belanja hampir RM3k untuk beli jeans yang tak cukup kain ni, korang memang gila.