Siapa sangka kejadian begini boleh berlaku? Seorang bayi perempuan yang baru lahir telah ditanam hidup-hidup oleh keluarganya dalam satu upacara persemadian kerana menyangka bayi itu sudah mati sebaik selepas dilahirkan.
Berpandukan video, kejadian itu berlaku di sebuah perkampungan daerah Brazil memperlihatkan anggota polis bertungkus lumus mengorek lubang kubur untuk menyelamatkan bayi berkenaan. Sambil disuluh dengan lampu dalam keadaan malam yang gelap gelita, polis yang menarik keluar bayi menyapu lebihan sisa pasir pada bahagian kepalanya.
Tonton Video Bayi Masih Hidup Ditarik Keluar Dari Kubur
https://youtu.be/i6N69C9KvpQ
Menurut sumber, pada awalnya beberapa anggota polis sedang mencari mayat mangsa kes pembunuhan di sekitar kawasan kubur berkenaan namun tiba-tiba terdengar rintihan bayi sebelum membuat keputusan mencari punca suara tersebut dan menggali lubang untuk proses menyelamat.
Katanya lagi, polis telah menggunakan tangan untuk menggali lubang secepat mungkin dan menyeluk hingga 50cm ke bahagian dalam untuk mencapai keranda bayi tersebut. Proses menyelamat tamat sekitar jam 10 malam Selasa lalu waktu Brazil.
Sejurus diselamatkan, bayi malang berkenaan terus dihantar ke hospital untuk pemeriksaan susulan kerana kelihatan sudah lemah dan sukar bernafas. Dalam masa yang sama, doktor mengesahkan bayi mempunyai dua tulang patah di bahagian tengkorak kepalanya.
Bayi itu adalah milik seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang melahirkan bayi tersebut secara berseorangan di dalam bilik air. Menurut keterangan si ibu, setelah mengalami kontraksi, bayi itu sendiri terkeluar dari alat sulitnya sebelum kepala bayi terhentak ke permukaan lantai bilik air dan disangka sudah tidak bernyawa (mungkin pengsan hasil hentakan kuat).