Sudah menjadi kebiasaan bagi masyarakat Islam nusantara membina kepok atau pagar di keliling kubur si mati. Hal ini pernah dibahaskan namun mendapat kritikan tajam daripada para ulama.
Perlu diperjelaskan supaya tiada kekeliruan, ini Wanista kongsikan sebahagian fatwa dan hadith sahih yang pernah menyebut tentang binaan di kubur.
Dari Jabir RA,
“Rasulullah s.a.w telah melarang kuburan dikapur (di simen), dijadikan tempat duduk, ditinggikan dengan tembok, paggar atau binaan dan juga menulis diatasnya.” (Hadith Riwayat Imam Muslim)
Harus apabila terdapat mudarat seperti kerana takut kubur dikorek binatang, atau takut dipijak orang atau takut disapu hancur oleh banjir… hal itu dibolehkan untuk kita sebagai waris membina kepok atau benteng dikeliling kubur tersebut namun, jangan keterlaluan dengan binaan yang mewah dan hanya dibina diperkarangan tanah kubur si mati. Tak boleh ambil ruang besar sangat sebab takut kacau tanah orang lain. Faham?
Tonton Penjelasan Ustaz Azhar Idrus Berkenaan Hukum Buat Binaan Atas Kubur
https://www.youtube.com/watch?v=Jt8Dk47R3Mk
Salah di sisi agama terutamanya apabila kubur itu dimewahkan dengan bahan binaan seperti mozek, simen, pagar besi, batu marmar, tempat duduk khas untuk penziarah bahkan dihiasi pula dengan batu nisan yang diukir surah Al-Quran serta tanaman pokok/bunga-bungaan yang kita anggap mampu menyumbangkan pahala zikir buat si mati. Ini ternyata bertentangan dengan fahaman Islam sebenar.
Imam Asy-syafie larang kubur ditinggikan melebihi sejengkal (7 inci) dan beliau larang kubur ditembok dengan bahan binaan (Fiqh Sunnah, 4:150).
Fatwa Membuat Binaan Di Atas Kubur Yang Dikeluarkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah
Soalan:
Haruskah disisi syarak membina apa-apa binaan, maqam atau sebagainya di atas kubur?
Jawapan:
1. Makruh dibuat binaan di dalam atau di atas kubur yang di dalam tanah yang dimilki oleh orang yang membuat binaan kecuali binaan itu dibuat bertujuan untuk menyelamatkan kubur dari digali atau dikorek oleh binatang buas atau diruntuh oleh banjir seumpamanya.
2. Haram buat binaan di dalam atau atas kubur dengan apa jua jenis dan bentuk binaan yang boleh jadi kekal selepas hancur mayat dengan tiada apa-apa tujuan seperti yang tersebut di atas sekiranya kubur itu di dalam tanah yang disediakan untuk perkuburan atau yang di wakaf untuk perkuburan.
Wajib dirobohkan kerana binaan yang kekal wujudnya selepas hancur mayat itu menghalangkan orang-orang Islam daripada menggunakan tempat perkuburan itu dengan tiada ada apa-apa sebab yang diluluskan oleh syarak dan meruntuhnya itu hendaklah dengan kebenaran qadhi atau dengan kebenaran Majlis Agama Islam jika ditakuti berbangkit perbalahan atau pergaduhan dan sebagainya.
Batu-batu dan perkakas-perkakas binaan itu menjadi hak milik warisnya dipulangkan kepada mereka jika tiada waris atau ada tetapi mereka enggan mengambilnya maka menjadi hak kepada Baitulmal.
Wallahu a’lam bish-shawabi ❤