Lupakan sebentar gaya lilitan belakang Laudya Cynthia Bella.
Gaya hijab atau fesyen bertudung milik selebriti dari negara seberang tidak terbatas banyaknya. Mereka tidak mengikut trend tapi menciptanya mengikut keselesaan tersendiri dan personaliti yang dibawa.
Dari pandangan penulis, gaya yang dibawa sangat bersederhana, ringkas dan mudah dikenakan oleh sesiapa sahaja.
Wanista perkenalkan enam selebriti hijabis dari Indonesia. Percayalah, mereka semua manis-manis belaka!
#1 Risty Tagor
Kalau anda pernah menonton sinetron Safa dan Marwah, mungkin anda perasan kehadiran wanita cantik ini. Risty Tagor mula berhijab pada 2012 selepas berlakon dalam sebuah sinetron islamik. Gaya hijabnya terkenal dengan tudung labuh serta sering mengenakan warna-warna lembut pastel. Risty juga kini gemar memakai anak tudung atau sarung kepala berbentuk V. Ia dapat beri ilusi bentuk muka lebih panjang dan bujur.
#2 Dewi Sandra
Nama Dewi Sandra amat besar Indonesia, selain membintangi filem Ayat-Ayat Cinta 2, Air Mata Surga, beliau juga adalah duta bagi jenama kosmetik dan kecantikan Wardah. Samada Dewi mengenakan selendang atau tudung bawal pasti beliau akan mengenakan ikatan reben pada bahagian hadapan. Gaya ini seolah-olah gadis barat mengikat skaf dileher. Cukup elegan!
#3 Alyssa Soebandono
Bintang sinetron Upik Abu dan Laura, Alisa dan juga isteri kepada aktor terkenal Dude Harlino memang terkenal dengan kecantikan semulajadi. Dikenakan pula gaya hijab dari tudung bawal menyerlahkan lagi keayuan Alyssa. Ibu anak satu ini tidak pernah lekang melilit tudung bawal dibahagian dalam telinga sebagai gaya baru untuk pemakai tudung empat segi ini.
#4 Tika Bravani
Sempoi sahaja aktres kelahiran Bali ini menyimpul tudung bawalnya. Walaupun tampil ringkas, Tika Bravani bijak bermain corak dan warna pada pilihan hijabnya. Gadis yang sporty atau mahu cepat bersiap, mungkin gaya ini anda boleh cuba tanpa mengambil banyak masa pun.
#5 Fenita Arie
Apa yang penulis perasan tentang gaya tudung dari selebriti Indonesia, mereka lebih gemar mendedahkan bahagian anak tudung. Lihatlah, Fenita Arie memakai hijab sedikit kebelakang dan cara sebegini untuk menonjolkan lebih tulang rahang dan pipi. Siapa yang ada tulang rahang bak aktres ini memang cantiklah! Jangan lupa sedondonkan warna tudung dan anak tudung tau.
#6 Anisa Rahma Adi
Cuba anda perhatikan anak tudung penyanyi ini. Iya, Anisa memakai anak tudung macam zaman kita sekolah dulu-dulu! Gaya anak tudung sebegini seperti keanak-anak a.k.a comel dan lebih selesa dari biasa. Jika dahulu hanya ada warna hitam dan putih sahaja, tapi Anisa ada pelbagai warna. Cukup ringkas dengan tudung bawal yang di pin pada kedua belah bahu, tetap bergaya juga.
Keenam gaya diatas mempunyai citarasa tersendiri dan masih mengekalkan kesederhaan. Hijab siapa yang paling anda adore?