Pantang nampak perempuan dahi licin dan tubuh bak jam pasir macam biasalah lelaki tak akan berkerlip mata.
Kelakuan seperti itu sudah menjadi normal tidak kira pada lelaki bujang mahupun yang sudah berkahwin. Tapi lagi menjadi masalah bila lelaki yang sudah punya isteri dan anak kadangnya tidak sedar diri apabila mahu lagi mencuba ‘nasib’.
Rasanya tak perlu penulis merungkai satu persatu cerita keretakan rumah tangga hanya kerana mata seorang lelaki. Sudah banyak dikongsi melalui media sosial dan jari pasti ditunding pada kaum wanita atas alasan tidak pandai menjaga pakai, makan suami dan bentuk badan sendiri. Aduhai…
Terkenan pula rasa penulis nak beri contoh tentang seorang aktor yang langsung tidak berpaling tadah wanita lain ketika isterinya mula berubah fizikal.
Pierce Brosnan, 65 dan isteri Keely Shaye Smith, 54 sentiasa menjadi contoh pasangan #relationshipgoals kerana keduanya sentiasa pamerkan sikap romantis satu sama lain.
Aktor kacak ini temui cintanya semula bersama Keely Smith setelah kehilangan isteri pertama akibat kanser ovari pada tahun 1991. Mula bertemu pada tahun 1994 ketika itu Keely Smith masih lagi bekerja sebagai wartawan TV.
Kekacakan Pierce Brosnan buat Keely tidak senang duduk dan mereka mula saling mengenali dan jatuh cinta. Buat pengetahuan anda, ketika itu tubuh Keely sememangnya seperti supermodel dan dia juga adalah part-time model.
Pada mulanya ramai berpendapat mereka berdua hanya jatuh cinta kerana keduanya memiliki bentuk fizikal dan wajah yang tiada tandingan. Mereka silap! Kini mereka sudah 17 tahun menjalani bahtera perkahwinan dan paling mengejutkan perubahan fizikal Keely langsung tidak diendah Pierce.
Sikap romantis, menghargai dan menghormati wanita adalah menyebabkan Pierce dikatakan seorang lelaki yang ‘seksi’. Menurut dari Keely, dia dan suami dating kali pertama dengan menghabiskan masa berbual sehingga jam 3 pagi (a.k.a lelaki yang tidak mengambil kesempatan).
Pierce juga seorang lelaki yang bersungguh apabila sanggup membelikan tiket penerbangan buat Keely semata-mata untuk melepaskan rasa rindu. Dia juga tidak malu apabila mengatakan rasa rindu yang kuat pada isteri tidak kira dimana dia berada.
Bila ditanya tentang resepi rahsia kejayaan perkahwinan, Pierce percaya tentang kualiti masa bersama. Baginya cukup dengan mulai hari dan mengakhiri satu hari bersama isteri cintanya.
Sudahlah tall, dark and handsome, Pierce Brosnan adalah ciri material husband yang patut dicontohi. Dia menunjukkan fizikal bukan segalanya dan berusaha untuk mengharmoni rumah tangga. Paling penting menghormati wanita.