Bihor adalah daerah pekan kecil yang wujud dalam gugusan bumi Rumania. Kaya dengan pelbagai adat dan seni warisan unik, penduduk tempatan sememangnya bangga dengan karya buatan tangan yang diperhalusi dengan perincian jahitan sulaman pada helaian jaket kostum warna-warni berkenaan.
Ia merupakan pakaian ikonik bagi masyarakat Rumania yang membezakan mereka dengan kaum-kaum etnik seluruh dunia dan baru-baru ini Dior menggemparkan ramai dengan koleksi rekaan musim luruh mereka yang meniru bulat reka bentuk, pemilihan material serta corak jaket kostum Bihor tanpa memberi sebarang kredit atau royalti penghargaan.
Menurut sumber, perkara itu sudah berlaku sejak dari tahun lalu semasa Dior membuat kempen pengenalan untuk koleksi pra-musim luruh 2017 dan netizen terutamanya mereka yang berasal dari Rumania perasan akan persamaan ketara antara jaket Dior dan jaket tradisi Bihor.
Sudahlah koleksi rekaan yang dikeluarkan mereka ‘sebijik’, harga yang diletakan pihak Dior pula boleh tahan mahal iaitu sekitar 30,000 euro (RM141,906) sepasang! Ini seolah-olah mengganggu periuk nasi masyarakat Rumania sekaligus mencemar reputasi Bihor sebagai pencipta sebenar yang kurang dikenali masyarakat dunia.
Sebagai inspirasi asli untuk rekaan tersebut Dior sama sekali tidak pernah memberi apa-apa bentuk penghargaan, baik kredit mahupun bayaran royalti kepada Bihor walaupun sudah terang lagi bersuluh bahawa rekaan jaket itu ditiru bulat inspirasi, material dan coraknya.
Untuk itu, Bihor memutuskan untuk melancarkan sebuah laman web bagi mewujudkan kesedaran dalam kalangan masyarakat dunia tentang bakat kerja tangan mereka bahkan pengunjung laman web berkenaan juga berpeluang untuk membeli hasil kerja tangan mereka termasuk jaket yang kononnya rekaan “Dior” itu pada harga jauh lebih murah.
Dengan cara ini, sudah tentu hasil wang daripada pembeli dapat disalurkan terus kepada pekerja kraftangan tempatan dalam kalangan masyarakat Bihor.
SUMBER 1, 2