Jika sebelum ini Dolce & Gabbana pernah keluarkan rekaan jubah glamor untuk para wanita muslimah khususnya bagi kaum wanita elit di Dubai dan negara timur tengah yang terdiri daripada golongan jutawan, kini mereka tampil pula dengan rekaan sari yang mungkin mampu menarik minat golongan Brahmana dan Ksatria yakni golongan kelas tertinggi mengikut kasta di India.
Menjadi perbualan ramai, rekaan sari yang telah diberi nafas baharu menerusi potongan lengan gelembung yang dihiasi fabrik renda itu telah dipamerkan tempoh hari sewaktu berlangsungnya pementasan fesyen untuk koleksi Alta Moda dan Alta Sartoria di Lake Como, Itali.
Biarpun perincian yang diketengahkan adalah termasuk corak cetakaan fabrik diinspirasi daripada kota lama Itali, namun elemen India yang diketengah lengkap membuatkan penampilan model nampak gah seperti “Mumtaz Alaf Baru”.
Menurut sumber, sari moden rekaan Dolce & Gabbana itu dipakai oleh peragawati berbangsa India, Dipti Sharma. Belaiu turut berkongsi keterujaannya bersama para pengikut di Instagram beberapa hari lalu.
Selain itu apa yang menjadi perhatian sewaktu pementasan fesyen #DGLovesComo adalah penampilan usahawan dan peminat fesyen tegar, Natasha Poonawalla yang unik apabila memadankan korset tanpa lengan Dolce & Gabbana bersama hamparan fabrik renda metalik, membaluti tubuh seperti sari.
Setidak-tidaknya, pakaian tradisional India diangkat untuk menjadi perhatian dunia. Agaknya, bila pula Dolce & Gabbana nak tampilkan baju kurung atau kebaya dalam koleksinya? #TanyaJe ❤