Amalan kebersihan dan kecantikan haruslah seiring bukan sahaja pada wajah dan badan malah turut kawasan sulit.
Ramai wanita alpa tentang kebersihan bahagian kelamin, bagi mereka cukup dengan mencuci ketika mandi dan membasuh pakaian dalam seperti biasa. Tanpa menitikberatkan perkara yang sebenarnya boleh menyebabkan vagina anda dijangkiti yis.
Hampir semua wanita akan mengalami masalah ini dengan simptom kegatalan, vagina berbau, keluar cecair hijau berbau atau bahagian bibir vagina kemerahan. Walaupun jangkitan yis tidak memberi apa-apa kesan bahaya untuk jangka masa lama tapi sampai bila anda mahu sambil lewa dengan kebersihan mahkota paling terulung itu.
Wanista senaraikan 6 faktor jangkitan yis boleh berlaku pada vagina:
#1 Malas tukar tuala wanita
Yis mudah tumbuh dikawasan yang lembab dan kotor. Jika anda sedang haid dan jarang sekali menukar tuala wanita risiko untuk yis muncul amat tinggi. Sebab itu ada dikalangan wanita berasa gatal dan tidak selasa semasa haid dan selepas. Seeloknya tukar tuala wanita setiap empat jam sekali, bukan tunggu penuh darah baru tukar.
Selain itu, elakkan memakai tuala wanita atau pantyliner mempunyai wangian kerana ia boleh meningkatkan lagi jangkitan yis. Pilihlah tuala wanita, pantyliner atau pencuci wanita bebas wangian.
#2 Tinggi gula dalam darah
Perubahan pada vagina juga berkaitan dengan cara pemakanan yang diambil. Mereka yang tinggi kandungan gula dalam darah a.k.a penggemar makanan manis antara yang senang dijangkiti yis. Gula adalah tenaga dan makanan yis, jika kawasan vagina pula lembab memang sudah pasti ia akan dijadikan ‘rumah’.
Awasi diet pemakanan anda serta kurangkan pengambilan gula. Ia bukan sahaja mengelakkan anda dari kencing manis bahkan kegatalan vagina.
#3 Pengambilan antibiotik
Dalam artikel ‘Kesan Sampingan Antibiotik Yang Ramai Tak Tahu‘ telah menerangkan antibiotik tidak boleh diambil secara sembarangan. Antibiotik bekerja sebagai membasmi bakteria dan ia juga boleh menyingkirkan bakteria baik yang menjaga kawasan vagina. Pakar mencadangkan untuk anda turut ambil bersama probiotik (bakteri baik) bersama-sama antibiotik. Tak nak secara pil? Makan sahaja yogurt dengan label ‘kultur hidup aktif’.
Cara ini supaya mengimbangi kesan antibiotik pada bakteria baik.
#4 Jadual harian tidak teratur
Perubahan gaya hidup yang sorot membawa kepada penurunan hormon dan kesihatan. Gejala tidur tidak cukup, pemakanan yang tidak berkhasiat, tidak menjaga kebersihan dan stress antara kesan kecil yang boleh membawa ketidakstabilan hormon.
#5 Seluar dalam kotor atau ketat
Teman baik vagina anda adalah seluar dalam. Pastikan anda memakai seluar dalam yang bersaiz sesuai dan selesa. Melaburlah ketika membeli seluar dalam dari fabrik kapas dan khas untuk ketika waktu bersenam. Anda juga disyorkan untuk tidur malam tanpa memakainya sebaiknya seminggu dua kali supaya kulit vagina boleh bernafas.
Jangan lupa untuk mencuci seluar dalam dengan air panas atau suam untuk kebersihan berganda.
#6 Bawaan dari pasangan
Tanpa anda sedar kemungkinan jangkitan berlaku dari bawaan pasangan sekatil anda. Kita tidak tahu tahap kebersihan dari pasangan, jadi seeloknya anda berbincang dengan pasangan mengenai perkara ini. Pakar juga mengesyorkan segera untuk membersih diri selepas melakukan aktiviti seksual.