Teringin juga nak buat sarapan sendiri tapi bila nak buat sarapan ala orang Malaysia memang tak cukup masa.
Ada sahaja menu pilihan untuk membuat sarapan sendiri secara ringkas tapi mendapat nutrisi terbaik. Kalau diikutkan American atau English breakfast adalah hidangan sarapan pagi yang sangat mudah dilakukan. Malah ia juga memberi tenaga dan rasa kenyang sehingga waktu tengahari atau petang, bergantung pada menu makanan.
Kali ini Wanista nak beri idea beberapa menu sarapan pagi ala orang putih yang mengenyangkan dan paling terbaik mempunyai sumber kebaikan yang baik untuk kesihatan.
#1 Smoothie pisang
Pisang bukan sahaja mengenyangkan malah tinggi dengan vitamin B6 dan mineral yang baik seperti magnesium. Minuman ini sesuai untuk mereka yang ingin cepat mengambil sarapan. Selain pisang, anda boleh gantikan dengan buah-buahan atau sayuran untuk kekal kenyang dan mendapat nutrisi hebat.
#2 Granola
Ini paling senang, anda cuma cari kat pasaraya sahaja. Granola merupakan alternatif yang lebih sihat berbanding bijiran. Ia gabungan daripada oat panggang, kekacang, buahan kering dan madu. Sama seperti bila anda makan cereal, hanya campurkan granola dengan susu atau jus ikut citarasa anda. Malah ia boleh dimakan kosong sebagai snek. Ketika membeli granola pastikan anda tidak membeli yang mempunyai gula atau lemak terhidrogenasi.
#3 Roti bakar dan avokado
Hidangan ini tak sampai 5 minit pun nak buat. Jika biasanya anda makan roti bakar dengan jam atau mentega, apa kata kali ini tukar cara sihat dengan avokado. Lenyek isi avokado sehingga lembut dengan menambah sedikti garam, lada hitam, minyak zaitun dan kemudian sapu pada roti bakar. Avokado mempunyai lemak sihat, 20 kebaikan vitamin dan bebas gula serta lemak.
#4 Sandwich telur dadar
Bosan juga ya roti dengan telur goreng atau telur hancur, seperi sarapan kosong. Tukar cara dengan mengantikan dengan telur dadar. Adunkan telur dengan bawang, sayuran, jagung atau apa sahaja yang anda ingin tambah. Biar sandwich roti dan telur anda lebih berkhasiat dan paling penting kenyang!
Lapar tak tengok semua menu diatas? Boleh cuba pagi esok yaa~