Semenjak dua menjak tersebarnya berita DSV beri hadiah kalung berlian palsu buat penyanyi Aishah pada kejuaraan finale Gegar Vaganza sekitar hujung tahun lalu, ramai wanita kian berjaga-jaga kerana tak mahu menimpa nasib yang sama seperti itu.
Tak kurang, ada juga khabar angin yang menyatakan bahawa sebahagian barang kemas yang dijual oleh DSV adalah tidak tulen selain pengumuman pengharaman Lavida Coin oleh Bank Negara baru-baru ini. Namun sejauh manakah kebenaranya? Kalau belum ada bukti baik jangan sebar fitnah betul tak?
Namun sebagai manusia biasa, lumrah untuk merasa ragu-ragu itu ada, lebih-lebih lagi jika ramai kenalan rapat kita yang sudah jatuh ditimpa tangga gara-gara tertipu dek membeli emas palsu. Untuk kebaikan semua, ini Wanista kongsikan cara mudah bagaimana hendak mengesan emas palsu dan salah satunya adalah dengan menggunakan magnet.
#1 Magnet
Untuk makluman semua, emas tulen tidak akan melekat pada magnet sebaliknya jika emas itu adalah dari jenis tiruan… ia akan terus melekat pada magnet -apabila diletakkan magnet berhampiran dengannya.
Harus diingatkan, magnet peti ais atau magnet yang terdapat pada permainan tidak boleh digunakan untuk ujian ini okay? Carilah magnet yang berkualiti seperti di kedai-kedai hardware bagi mengesan ketulenan barang kemas.
#2 Menggigit
Bagi kamu yang tak kisah jika barang kemas jadi kemek, cara ini bolehlah digunakan. Mungkin sebab itu ramai para atlet menggigit pingat emas yang mereka raih. Kamu boleh cuba mengigit barang kemas (jangan terlalu kuat).
Ini kerana, emas tulen akan mempunyai kesan gigi setelah digigit manakala emas palsu pula tidak akan menampakkan kesan gigi jika digigit kuat sekalipun (mungkin kerana dibuat daripada campuran besi atau logam yang keras).
#3 Rendam Dalam Asid Nitrik
Untuk ujian menggunakan asid nitrik, kamu memerlukan bekas tahan karat (stainless steel). Hati-hati kala melakukan ujian ini kerana kamu bakal bermain dengan campuran asid.
Caranya tuang campuran cecair asid nitrik ke dalam bekas besi tahan karat, kemudian rendam barang kemas di dalamnya. Lihat berubahan warna yang berlaku terhadap cecair mahupun barang kemas.
- Air bertukar warna susu: Ia merupakan logam perak bersalut emas.
- Air bertukar warna kehijauan: Ia merupakan logam besi bersalut emas.
- Air bertukar warna kekuningan: Ia merupakan logam kuning bersalut emas.
- Air tidak berubah warna dan kekal jernih: Ia adalah emas tulen.
#4 Periksa Kesan Atau Tanda Hitam
Emas palsu atau emas yang berupa logam bersadur seperti Zulian akan menampakkan kesan calar atau terkopek berwarna kehitaman atau kehijauan jika sudah dipakai untuk beberapa tempoh.
#5 Gores Emas Pada Seramik/Porselin
Cara ini mungkin menyebabkan barang kemas kamu berisiko untuk calar. Jadi sila berhati-hati.
Caranya, guna pinggan atau apa-apa barang kaca seramik atau porselin yang kamu ada di rumah lalu goreskan barang kemas pada bahagian permukaan kaca seramik itu. Jika terdapat tanda hitam ianya tidak tulen, manakala jika tiada langsung sebarang kesan atau hanya kesan calar warna emas, itu adalah emas yang sebenar.
Jadi, sila berhati-hati sebelum membeli emas. Jangan mudah percaya terhadap toko-toko emas yang ada kerana kamu kamu tidak bijak menilai, kamu mungkin akan tertipu secara buta-buta.
Selamat beramal! ❤