Rasanya sudah kecoh dari minggu sudah tentang pasangan 16 tahun yang melangsungkan pernikahan baru-baru ini. Ramai netizen terkejut dengan berita itu sekaligus merasanya ianya tidak logik untuk dunia hari ini bahkan agak bertentangan dengan hak seorang remaja yang sepatutnya gigih menimba ilmu dalam waktu usia sebegitu namun sudah pun mendirikan rumah-tangga.
Bukan itu sahaja, beberapa bulan lalu, ada juga laporan berita yang mengaitkan kanak-kanak 11 tahun telah dinikahi lelaki yang sudah layak digelar pakcik berumur 41 tahun. Lebih parah, kanak-kanak bawah umur itu adalah merupakan isteri ketiga lelaki berkenaan. Kecelaruan itu kemudian membuatkan Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga, Dr. Wan Azizah untuk tampil dengan cadangan menaikkan had umur berkahwin dalam kalangan remaja dari 16 tahunn ke 18 tahun.
Setelah dibentangkan, akhirnya semalam, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan dengan cadangan menyelaraskan had umur minimum perkahwinan orang Islam di Selangor dengan menaikkan had minimum daripada 16 kepada 18 tahun.
Baginda berharap cadangan pindaan beberapa peruntukan dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) dan Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 dibentangkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) kali ini.
“Beta memandang serius kes-kes seperti ini kerana beta bimbang tentang risiko kemudaratan masa depan pasangan tersebut dan kesannya kepada masyarakat kelak.
“Beta berkenan dengan cadangan untuk menyelaraskan had umur minimum perkahwinan orang Islam lelaki dan perempuan di Selangor dengan menaikkan had minimum daripada 16 kepada 18 tahun,” titah baginda pada sesi pembukaan persidangan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ke-14 di Shah Alam, semalam.
Titah baginda lagi, beberapa peruntukan lain juga perlu dipinda bagi menambah baik prosedur untuk mendapatkan kebenaran daripada mahkamah syariah bagi perkahwinan di bawah umur.
“Antaranya dengan meletakkan beberapa syarat yang perlu dipatuhi oleh ibu bapa dan pihak berkenaan, seperti mendapatkan rekod mental, jasmani, kesuburan, akhlak dan sosiologi serta pengakuan kerelaan pemohon bagi memastikan perkahwinan mereka ini tidak akan mendatangkan kemudaratan.
“Untuk tujuan itu beberapa peruntukan dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) dan Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Selangor) 2003 dicadangkan untuk dibuat pindaan,” titah baginda.