Baru-baru ini, penulis berpeluang berkunjung ke Sri Lanka atas undangan Dilmah Tea. Tidak pernah terfikir dek akal fikiran melancong ke Sri Lanka tapi siapa sangka ia merupakan satu pengalaman yang cukup bermakna dan manis.
Baiklah, sama seperti negara-negara di Asia Tenggara, Sri Lanka adalah negara konservatif yang berbangga dengan nilai-nilai tradisionalnya. Untuk membuat kembara anda di pula yang indah ini lebih selamat, diingati dan bebas masalah, beberapa perkara yang perlu anda ketahui.
Jangan sesekali banding beza Sri Lanka dan India
Pengalaman berlaku pada diri penulis sendiri apabila membandingkan orang Sri Lanka dengan India, tanpa sedari mereka tidak menyukainya dan lantas menegur dengan cara baik. Dalam perbualan dengan penduduk tempatan, elakkan membandingkan Sri Lanka dan India. Mereka adalah dua negara yang berbeza, dengan dua budaya yang unik.
Jangan menghina agama
Ia sangat tidak disarankan untuk menyentuh seorang sami, terutamanya di kepala mereka, dan wanita tidak dibenarkan menyentuh rahib sama sekali. Lagi satu jangan lupa membuka kasut ketika melawat sesebuah kuil.
Sila bawa krim pelindung matahari
Sri Lanka adalah tanah mikrolimat. Anda akan mengalami kesejukan melampau (lagi sejuk dari Cameron Highlands) bila ke kawasan pergunungan seperti Nuwara Eliya yang terkenal dengan ladang teh. Tetapi memerlukan krim pelindung matahari terutamanya jika anda ke river safari di Udawalawe, di mana suhu tertinggi boleh mencecah 100 darjah. Matahari tegak di atas kepala, tanah tandus dan kering sehingga boleh memeningkan kepala.
Jangan lupa bawa semburan serangga
Walaupun pulau ini bebas malaria, tetapi dilaporkan terdapat wabak demam denggi yang kerap berlaku yang boleh menjadi sangat buruk. Jadi sentiasa bawa semburan serangga ke mana sahaja. Pastikan anda sembur di keseluruhan badan kerana Sri Lanka memang banyak nyamuk. Serius penulis tak tipu.
Hati-hati dengan pengangkutan awam
Rasanya di mana sahaja anda travel, jaga-jaga dengan pengangkutan awam kerana takut silap hari bulan kena ‘cekau’. Apabila anda menggunakan tuk tuk, jangat lupa untuk bertanya sama ada mereka mempunyai meter dan pastikan ia berfungsi. Anda boleh berunding harga jika anda tahu kos biasa yang dicaj. Lagi satu di Colombo, mereka menggunakan perkhidmatan Uber juga.
Jangan minum air paip sesuka hati
Elakkan daripada minum air dari paip. Jangan lakukan walaupun sekadar mahu memberus gigi. Ia tidak selamat. Dilaporkan perindustrian, sisa pertanian dan baja banyak mencemari bekalan air, menyebabkan semakin banyak masalah kesihatan yang berkaitan dengan air di negara ini.
Tanya dahulu sebelum mengambil gambar
Sebelum anda mengambil gambar, pastikan anda bertanya dahulu. Sesetengah tempat, seperti muzium, kuil, masjid, memerlukan kebenaran untuk berbuat demikian. Tanya dahulu dan jangan main serkap jarang.
Anjing ada di mana sahaja
Jangan terkejut kalau anda lihat anjing merata-rata di jalanan sehingga ke dalam bangunan. Kata penduduk tempatan anjing Sri Lanka baik-baik dan tidak ganggu orang. Ini penulis setuju kerana penulis memang takut anjing dan menggelabah tapi bila kita buat relaks nescaya mereka langsung tidak ganggu.
Cuba hidangan tempatan Sri Lanka
Anda melancong jauh sampai ke Sri Lanka tapi langsung tak cuba juadah tempatan, bukankah itu rugi. Jangan meninggalkan negara ini tanpa mencuba hidangan tempatan seperti sambal kering Sri Lanka yang cukup pedas, aneka teh susu atau kayu manis serta pelbagai lagi manisan.
Selamat Melancong ke Sri Lanka!