Ramai sangka bintik putih di dagu itu cumalah whiteheads biasa walhal ia sebenarnya adalah sejenis jerawat yang dipanggil “comedonal”. Dalam bahasa Indonesia, ia sering dipanggil jerawat komedo dan ini adalah jerawat yang paling sukar untuk dihilangkan kerana ia tidak mempunyai mata seperti jerawat-jerawat lain. Lebih parah, ianya akan kekal di permukaan kulit jika tidak dikeluarkan (ia tidak akan pecah atau masak).
Untuk mengeluarkan isi putih tersebut, seseorang perlu melubangkan kulit dengan cara mencungkil sedikit bahagian kulit yang terlibat untuk membuat ‘mata’ bagi mengeluarkan isi jerawat tersebut.
Kebiasaannya juga, isi jerawat komedo sangat sedikit (berbanding jenis jerawat lain). Ini sekaligus bisa menjadikan luka di kulit tadi semakin parah kerana kamu pastinya akan memicit dan mencungkil bahagian tersebut dengan kuat bagi mengeluarkan isi jerawat yang sebenarnya tersumbat jauh dalam rongga kulit di bahagian paling dalam.
Khas buat semua,Wanista rungkaikan cara terbaik bagaimana hendak mengatasi masalah jerawat komedo ini.
#1 Skrub Selalu
Memanglah tak elok guna skrub setiap hari kerana skrub boleh menghakis minyak wajah yang baik sekaligus buat kulit semakin kering dan nipis. Tetapi, kalau kamu mahu kulit sentiasa bersih, boleh sahaja skrub setiap hari asalkan skrub yang dipilih itu menggunakan butir-butir skrub semula jadi (contohnya dibuat daripada cengkerang kacang atau gula) dan bertekstur halus agar lebih lembut pada kulit.
#2 Cuci Mekap Bersih-Bersih
Cuba cari penghapus mekap (makeup remover) yang berasaskan minyak untuk mencuci sisa solekan pada wajah. Ini kerana, penghapus mekap yang berasaskan minyak lebih berkesan menanggalkan sisa solekan degil terutamanya foundation serta maskara kalis air.
Cara guna penghapus mekap berminyak adalah, basahkan kepingan kapas, perah lebihan air. Kemudian, tuang beberapa titis cecair penghapus mekap dan gosokan lembut pada wajah sehingga muka benar-benar bersih.
#3 Elak Picit Jerawat Komedo
Kalau tak mahu kulit berparut dan jadi berlubang, ada baiknya kamu tidak memicit langsung jerawat komedo yang ada pada dagu itu. Seperti yang sudah dijelaskan awal tadi, jerawat komedo tidak mempunyai mata dan ini akan memaksa kamu melubangkan kulit untuk mengeluarkan isinya. Jadi hati-hati dan fikir dahulu efeknya sebelum mencederakan wajah sendiri okay?
#4 Jangan Lupakan Pelembap
Untuk mengelakkan pertumbuhan jerawat komedo, amalkanlah pemakaian pelembap wajah. Pelembap akan menyeimbangkan keadaan kulit dan ini mampu menghalang penghasilan minyak wajah (sebum) secara berlebihan. Bila wajah kurang berminyak, jerawat akan turut berkurang.
#5 Buat Rawatan Di Spa
Di spa atau klinik kulit biasanya ada peralatan yang selamat dan mencukupi untuk mengekstrak isi-isi jerawat komedo termasuklah blackheads dan whiteheads. Jadi kamu tak perlu bimbang untuk memicit jerawat tersebut di rumah kerana dikhuatiri jangkitan kuman akan berlaku sekaligus menyebabkan radang kulit dan mengundang jerawat lebih banyak untuk tumbuh pada bahagian yang telah luka dan dijangkiti bakteria.
Untuk pengetahuan semua, tangan dan jari manusia sangat berbisa selain ia sebenarnya merupakan habitat kepada banyak kuman. Jadi lebih baik, serahkan sahaja pada yang pakar untuk memecahkan dan mengeluarkan isi jerawat yang ada di sekitar wajah kamu. Kalau nak kulit cantik, jangan berani-berani kutil wajah lagi okay?
Selamat beramal! ❤