Sebagai tenaga pengajar, seseorang itu pastinya perlu tegas dalam sesetengah perkara agar bisa memberi contoh disiplin terbaik buat para pelajar. Namun, tidak seharusnya setiap masa guru itu perlu menjadi individu yang garang dan serius saban hari.
Seperti wanita bernama Ainee Fatima yang merupakan guru Bahasa Inggeris dan Pengajian Massa ini tiba-tiba menjadi perhatian warga Twitter kerana cara beliau menanda kertas jawapan peperiksaan pelajarnya.
Beliau yang mengajar di sebuah sekolah tinggi dekat Illinois memberitahu Insider bahawa dirinya ingin mencuba suatu kelainan dengan meletakkan meme pada bahagian jawapan yang salah.
“Saya sedang menanda kertas jawapan peperiksaan mereka (pelajar) dan akhirnya jadi runsing dengan pelbagai jawapan salah yang diberikan, lalu saya terfikir ‘Betapa saya berharap mereka (pelajar) boleh lihat wajah saya sekarang’“.
Tidak hanya menanda dengan pelekat meme pada jawapan salah, Ainee juga secara kreatif menggunakan meme wajah Gordon Ramsey untuk menanda jawapan pelajar yang betul.
Menurut Ainee lagi, cara kreatifnya itu bukan sahaja mendapat reaksi positif dalam kalangan pelajarnya bahkan mereka juga bisa lebih tekun dalam menjawab. Bahkan, ada juga pelajar yang meminta kalau jawapan salah mereka boleh diperbetulkan kembali bagi mendapatkan pelekat Gordon Ramsey untuk menggantikan meme popular Nick Young yang sedang dalam kekeliruan itu.
Dalam situasi lain, Ainee turut menerima maklum balas daripada Gordon Ramsey sendiri dek tindakan beliau yang sangat kreatif dan mencuit hati itu.
Hmm, mungkin cikgu-cikgu dan para pensyarah Universiti di Malaysia boleh aplikasikan teknik menanda kertas jawapan seperti Ainee. Untuk meme, penulis cadangkan meme Rani Kulup, KIPIDAP! Apa pendapat korang?