Sama seperti istilah “Kejayaan tidak akan datang andai tidak disertai doa dan usaha”, tubuh badan yang kurus juga tidak boleh dicapai andai tidak disertai gaya pemakanan atau amalan diet yang sihat. Begitulah pandangan pakar kesihatan popular tanah air, siapa lagi kalau bukan Kevin Zahri.
Kevin turut menegaskan kebenaran bahawa, turun naik berat badan sebenarnya berhubung kait dengan kombinasi senaman dan pengawalan pengambilan kalori. Bahkan, ramai tidak tahu senaman Zumba sebenarnya tidak direka untuk menurunkan berat badan.
ZUMBA UNTUK HILANGKAN TEKANAN
Jelas Kevin, objektif sebenar zumba adalah untuk meningkatkan pembakaran kalori -buat seseorang rasa gembira dan menghilangkan tekanan.
“Dalam masa yang sama, ia juga boleh meningkatkan kecergasan jika seseorang itu betul-betul komited dengan senaman Zumba tersebut namun, tanpa kawalan pemakanan, ternyata tiada sebarang senaman yang dapat membantu,” tambahnya.
KEMAMPUAN INDIVIDU ADALAH BERBEZA
Cara terbaik untuk melakukan senaman adalah dengan mengamalkan senaman mengikut kemampuan diri. Ini kerana tahap tenaga serta kebolehan kita adalah tidak sama dengan orang lain. Justeru, cuba cari rutin senaman yang bertepatan dengan kemampuan diri.
Ini kerana, senaman Zumba umpamanya boleh menyebabkan kecederaan kerana ia merupakan pergerakan aktif yang berterusan. “Bagi yang tidak biasa, senaman yang mencabar akan menyukarkan mereka mengawal degupan jantung seterusnya pengsan apabila nafas semakin sesak tatkala jantung semakin laju”.
Menurut laporan Astro Awani, beberapa hari lalu, portal The Jakarta Post melaporkan kenyataan dari seorang pengasas Zumba bernama Beto Perez.
ZUMBA HASILKAN HORMON GEMBIRA
Beliau memaklumkan program tersebut (Zumba) tidak direka untuk menurunkan berat badan sebaliknya, hanya untuk membantu si pengamal berasa gembira berikutan kereografi Zumba mampu menghasilkan hormon endorfin (hormon gembira) dalam tubuh lalu membuatkan kita berasa tenang dari tekanan masalah.
Tonton Video Beto Perez Jelaskan Zumba Adalah Senaman Untuk “Enjoy”
Zumba juga senaman yang dicipta untuk mengeratkan hubungan dan sebab itu ia dilakukan secara berkumpulan sambil ditemani muzik rancak.
SENAMAN CUMA BANTU 20% KURANGKAN BERAT
Menurut penulisan artikel thighgaphack.com, senaman cuma bantu sekitar 20 peratus dalam pengurangan berat badan selebihnya adalah bergantung kepada diet seseorang. Ini kerana pengawalan pemakanan lebih logik membunuh lemak. Bila lemak terhapus, baru kita boleh kurus betul tak?
Oleh itu, jaga dan kawal pemakanan kerana bersenam sahaja memang tak akan bantu. Kena stabil antara senaman dan pemakanan okay?!
Selamat beramal! ❤