Pernah dengar orang menyebut perkataan “DUPE”?
Dupe biasanya adalah istilah kecatikan yang diberikan buat mana-mana produk yang bisa dianggap pilihan “tiruan” terbaik -yang harganya jauh lebih murah dari produk jenama lawannya namun, kualiti serta kesannya hampir sama dengan produk mahal yang berkenaan.
Sebagai contoh, sebelum ini orang sering berkata dupe bagi primer Benefit Porefessional yang harganya sekitar RM284/44ml adalah Maybelline Baby Skin yang berharga RM20. Jadi kalau kamu sedang berjimat, boleh dapatkan sahaja dupe kerana harganya jauh lebih murah tetapi efek kualiti yang diberikan tetap sama dengan pilihan jenama mahal. Untung kan?
Baru-baru ini, kecoh di media sosial tentang sebuah hasil kajian dari Hong Kong yang menyamakan keberkesanan pencuci muka ‘bajet’ ini dengan pencuci muka jenama SK-II. Seperti yang kita tahu, jenama SK-II yang memanfaatkan formula air beras dipanggil pitera itu memang berkesan untuk merawat wajah secara intensif. Untuk itu, tiada sesiapa pun yang dapat menafikan harga produk SK-II memang tinggi mencapai ratusan ringgit seunit.
MINISO = SK-II
Menarik perhatian penulis, Hong Kong Consumer Council (Majlis Pengguna Hong Kong) dalam pemerhatiannya sekitar November tahun lalu terhadap 60 jenis pencuci muka dari pelbagai jenama mendapati bahawa pembersih Rice Cleansing Foam dari rangkaian serbaneka Jepun iaitu MINISO memiliki nilai skor tertinggi yang sama dengan skor pembesih SK-II Facial Treatment Gentle Cleanser!
Untuk pengetahuan semua, di pasaran, harga MINISO Rice Cleansing Foam itu cuma berharga sekitar RM10 satu tiub. Ini sekaligus menjadikan ia dupe kepada pencuci muka dari jenama terkemuka yang ramai selebriti gunakan itu.
Menurut perkongsian dari PR Newswire, MINISO Rice Cleansing Foam dikatakan mengandungi kadar pH 9.9 dan langsung tidak diramu dengan bahan pengawet. Hasil kajian juga mendapati pembersih berkenaan tidak mengandungi campuran MIT dan CMIT, kandungan Formaldehid, Asid Salasilik mahupun alkohol jenis Isopropil. Untuk itu, ia dianugerahkan skor penuh 5/5 dan skor 3/5 untuk label produknya.
Hong Kong Consumer Council Evaluated Cleaning Products; MINISO with the Lowest Price has the Highest Score https://t.co/YtoGscoU1g
— Miniso Official (@MinisoOfficial) November 26, 2018
Untuk pengetahuan semua, meskipun pembersih MINISO diedarkan oleh syarikat rangkaian serbaneka Jepun, ia sebenarnya diproses dan dikeluarkan oleh reBom Company dari Korea.
Gesa Orang Ramai Baca Label Produk
Dalam perkembangan lainnya, Professor Wong Kam-fai yang merupakan Pengerusi Amalan Perdagangan dan Jawatankuasa Kajian Aduan di Majlis Pengguna Hong Kong berkata lebih 5 jenama pencuci muka yang dikaji mengandungi bahan pengawet tidak mesra termasuklah Methylisothiazolinone (MIT) dan Methylchloroisothiazolinone (CMIT) yang bisa menyebabkan kerengsaan kulit seperti gatal-gatal dan ruam.
Untuk itu orang ramai diminta berhati-hati dalam pemilihan produk pencuci muka walaupun ia dikatakan dari jenama bagus. Pastikan membaca label dahulu agar ianya bebas dari bahan MIT dan CMIT okay?
Buat masa ini, penulis ada juga mencari-cari pembersih Rice Cleansing Foam di cawangan MINISO terdekat tetapi stoknya masih tidak kelihatan. Mungkin kalau kamu berminat, boleh kirimkan dari kawan-kawan yang ada di Hong Kong atau Filipina. Ini kerana, cuma dua negara Asia ini yang banyak mengemukakan ulasan tentang pengguaan pembersih MINISO Rice Cleansing Foam.
Selamat mencuba! ❤