Masih dalam proses melengkapkan premis yang berdiri di tengah-tengah kotaraya Kuala Lumpur di pesisir Jalan Tun Razak, The Linc KL dilihat bakal mewarnai jiwa pelancong dalam dan luar negara sebagai antara lokasi paling menarik untuk dilawati.
Dari luaran terlihat seperti pusat membeli-belah mini tetapi sebaik melangkah ke dalam, struktur bangunannya boleh dikira berkelas kerana ia menggabungkan konsep moden yang diterap dengan elemen santai hispter.
Beberapa sudut dalamannya sengaja dibiar terdedah kepada jalan keluar masuk menerusi dedaun pintu kaca automatik yang membuka peluang kepada pengunjung untuk keluar ke bahagian balkoni pusat membeli-belah -menghadap ke pohon ara yang merimbun.
Kemudian, ada pula tangga yang boleh digunakan pengguna untuk turun naik ke beberapa aras bangunan mahupun untuk ke tempat parkir yang terletak di aras paling bawah The Linc KL.
Bagai tempat untuk menyimbah kreativiti, seisi kawasan dinding bangunan ini juga langsung tidak dibiarkan kosong di mana, setiap incinya dihiasi lukisan mural yang pastinya sangat unik untuk dijadikan latar foto-foto gah, baik untuk Instagram mahupun aktiviti fotografi bagi yang obses dengan seni lensa.
Sehubungan itu, baru-baru ini The Linc KL tampil melancarkan instalasi seni yang dihasilkan beberapa orang artis berbakat Malaysia termasuklah Choo Sew Ling, Lim Anuar, Charles Chee, Amarul Abdullah, Stephanie Ng dan Yip Yew Chong.
Bagi kamu yang sedang menjejaki lubuk terbaharu untuk dijadikan tempat lepak, The Linc KL ada semua yang kamu cari!
#1 Tangga Warna-Warni
Dibina menggunakan palet-palet konkrit berwarna-warni, ia kemudian disusun rapi agar menampakkan ilusi berjalur yang pastinya membuka mata sesiapa yang melihat.
Selain digunakan sebagai penghubung antara aras satu dan dua yang merupakan kawasan pameran, pengunjung juga boleh memanfaatkan tapak-tapak hitam yang disedikan di anak tangga sebagai tempat duduk untuk beristirehat mahupun mengambil foto-foto #InstagramWorthy.
#2 Restoran BO All Day Dining
Sambil makan, sambil bergambar! Tahukah kamu restoran BO All Day Dining ini bukan sahaja menawarkan seleksi menu enak untuk dicuba bagi si kaki makan, namun hiasan dalamannya turut mampu memikat hati. Sesuai dijadikan kawasan bersantai mahupun untuk berdua-duaan dengan si dia bagi acara makan malam romantis. Sememangnya cantik dijadikan latar foto Instagram.
#3 Kedai Orkid
Gemar berdampingan dengan alam semula jadi yang dihiasi floral mewah sebegini untuk dijadikan latar foto? Kunjungi Orchid Culture yang merupakan salah satu gedung tarikan di The Linc KL. Kedainya cuma menjual pohon-pohon Orkid segar buat mereka yang suka bercucuk tanam, tapi apa salahnya kalau nak singgah untuk menumpang mengambil satu dua photo of the day!
#4 Kafe Bean Brothers
Sekali pandang nampak macam taman, dua kali pandang baru perasan yang ianya adalah sebuah kafe yang dikelilingi pelbagai jenis pohon. Sambil mengopi tu bolehlah berswafoto dengan teman-teman untuk cipta memori bersama yang tiada tandingan. Kafe Bean Brothers di aras paling bawah The Linc KL ini adalah antara tempat yang sering dipenuhi pengunjung tau!
#5 Aneka Mural Dinding
Selian menawarkan seleksi tempat makan menarik dan gedung-gedung gah untuk memenuhi keperluan pengunjung, pihak The Linc KL turut komited untuk mempromosikan hasil seni artis-artis Malaysia. Untuk itu, karya-karya mereka yang berbakat telah ditempatkan di dinding bangunan The Linc KL yang secara tidak langsung menceriakan suasana.
#6 Gantungan Merpati
Hujung minggu ini boleh bawa seisi keluarga ke The Linc KL untuk melihat sendiri gantungan merpati cantik ini! Terletak dalam kawasan runag legar pameran di Aras 2, kharbarnya instalasi seni ini merangkumi lebih 40,000 keping origami burung merpati yang disusun dan digantung secara berperinci. Menarik untuk rakam foto #OOTD kan?
Amacam? Teruja tak lihat port baru untuk fotografi ni?
Untuk keterangan lanjut, sila klik [facebook.com/thelinckl].