Alahai..kenapa lah masih tak cantik cantik biarpun dah berpuluh botol krim muka sudah ditepek?
Nak kata tak beli yang dah mahal, sesuai dengan masalah kulit dan bermacam jenama semuanya sudah dicuba tapi masih belum nampak hasil seperti yang dijanjikan. Ini salah siapa sebenarnya, produk atau cara pemakaian?
Kedua-duanya anda perlu mahir untuk tidak merugikan masa dan wang yang anda telah labur dalam penjagaan kulit wajah. Mari Wanista kongsikan langkah yang paling tepat untuk memakai krim siang dan malam.
Siang
Peraturan asas langkah memakai krim ialah dahulukan produk kandungan yang ringan kemudian berat/tebal. Penyerapan setiap produk amat penting supaya kulit dapat menerima setiap kebaikan produk. Seeloknya juga untuk anda selang beberapa minit sebelum melapis setiap produk.
Langkah 1: Serum
Selesai mencuci wajah dan menyegar produk pertama yang perlu anda capai ialah serum. Ini kerana serum lebih kaya dengan bahan-bahan rawatan dan sebagai primer dalam langkah penjagaan wajah.
Langkah 2: Fokus pada bahagian bermasalah
Selesai serum dan beberapa minit kemudian sapu krim rawatan pada bahagian kulit yang bermasalah. Langkah ini ada boleh skip jika anda tiada krim khas seperti mengecutkan jerawat, sensitif, kering atau apa sahaja.
Langkah 3: Keseluruhan wajah
Seterusnya sapukan produk yang anda mahu untuk kebaikan tambahan kulit sebagai contoh krim mencerah, antioksida, facial oil atau krim mata.
Langkah 4: Pelembab
Produk terakhir untuk mengunci semua rawatan diatas ialah dengan menyapu krim pelembab pada seluruh wajah.
Langkah 5: Krim pelindung matahari
Kalau melangkah keluar rumah jangan lupa krim pelindung matahari!
Malam
Teknik yang digunakan masih sama cumanya anda perlu tukar produk yang lebih ‘berat’ kerana pada waktu malam untuk sesi rawatan kulit secara berganda!
Langkah 1: Serum atau produk berasaskan retinol
Anda boleh gunakan produk mengandungi retinol iaitu krim anti penuaan, membaiki tekstur kulit atau mengetatkan pori-pori. Caranya sapukan dengan kadar minima (saiz kacang pis) pada seluruh wajah dan urutkan. Jika tiada gantikan dengan serum seperti biasa.
Langkah 2: Fokus pada bahagian bermasalah
Sebelum menyapu krim tertentu, anda boleh urut lembut krim mata pada bawah mata dan biar beberapa minit. Teruskan dengan menyapu produk khas untuk rawatan pada bahagian bermasalah.
Langkah 3: Pelembab
Pakar kulit mencadangkan krim pelembab malam sepatutnya lebih pekat/tebal untuk mengimbangi bahan retinol yang disapu pada permulaan. Ini supaya kulit tidak terkena sebarang iritasi. Namun jika kulit anda terlalu berminyak untuk memakai krim pelembab malam anda boleh gantikan dengan pelembab jenis losyen.
Pastikan anda kenal masalah kulit anda dan set dalam kepala pakai produk yang ringan diikuti krim yang tebal. Bila waktu siang jangan tinggal krim pelindung matahari dan waktu malam pula lebihkan pada krim yang mempunyai fungsi memperbaiki dan merawat.
Selamat jadi cantik semua!