Pernah tak anda mengalami keadaan di mana basah pada seluar dalam, baju tidur bila bangun keesokan pagi? Cadar juga turut basah. Jangan bimbang kerana anda mengalami mimpi dan ianya perkara normal dialami lelaki baik perempuan.
Dikenali dalam bahasa saintifiknya sebagai “pelepasan malam” (nocturnal emission), mimpi basah juga dikenali dalam bahasa Melayu sebagai ihtilam.
Apa benda sebenarnya mimpi basah dan bagaimana ianya terjadi?
Mimpi basah berlaku disebabkan ejakulasi semasa anda sedang tidur, yang bermaksud anda mengeluarkan air mani (cairan yang mengandungi sperma) daripada zakar anda. Kebiasaannya berlaku semasa anda bermimpi mengenai seks, tetapi anda mungkin tidak mengingati mimpi tersebut.
Apabila anda melalui akil baligh, badan akan mula menghasilkan testosteron; hormon lelaki. Apabila badan anda sudah mula membuat testosteron, ia boleh mengeluarkan sperma. Keadaan ini akan menyebabkan tubuh remaja mengalami beberapa perubahan seperti testikel akan berkembang, pertumbuhan rambut kemaluan yang tebal dan turut tumbuh di sekitar organ kelamin serta perubahan suara dan pertumbuhan otot.
Normal ke jika kerap mimpi basah?
Ini adalah sesuatu yang normal. Jangan cuba menghentikan tindak balas semula jadi badan anda. Mimpi basah juga adalah fasa normal tumbesaran. Walaupun anda kerap mengalami mimpi basah, ini tidak bermakna anda mempunyai masalah. Sesetengah lelaki mengalami mimpi basah beberapa kali seminggu. Ada juga yang hanya mengalami mimpi basah beberapa kali sahaja sepanjang hidup mereka.
Adakah perempuan mengalami mimpi basah?
Kajian menunjukkan bahawa ramai lelaki mengalami ejakulasi malam pada satu ketika dalam kehidupan mereka. Perempuan juga mengalami mimpi basah tetapi tidak sekerap golongan lelaki. Kebarangkalian penyebab mimpi basah dikalangan perempuan adalah mimpi erotik. Perempuan yang mengalami orgasme dapat mengalami lendiran dari faraj oleh tubuh akibat rangsangan seksual.
Mungkin ada yang ingin tahu bagaimana cara untuk mengelakkan mimpi basah, perlu diingatkan bahawa ia adalah sebahagian daripada proses tumbesaran yang normal. Tetapi jika masih tidak selesa, rujuklah kepada pakar untuk mendapatkan nasihat lanjut. Sebaiknya, apabila anda bangun dari pada mimpi basah, bersihkan diri dan mandi wajib. Basuh zakar dan buah zakar anda dengan sabun dan air secara lebih teliti.
Selamat Beramal!