Jika anda merupakan pengikut filem seram seperti “The Conjuring”, “The Nun”, “Annabelle”, pasti mengetahui pasangan Ed Warren dan Lorraine Warren.
Menerusi The Conjuring, anda diperkenalkan dengan pasangan Ed dan Lorraine Warren, dua penyiasat paranormal yang menyiasat kejadian mistik. Sekiranya anda tidak tahu, kedua-dua watak itu sebenarnya berdasarkan kehidupan pasangan sebenar, yang namanya juga Ed dan Lorraine Warren. Jalan cerita dalam semua filem ini telah diilhamkan oleh kes penyiasatan sebenar pasangan ini sendiri.
Terkini, Lorraine Warren mengejutkan kita semua apabila pergi buat selamanya di rumahnya di Monroe, Connecticut pada usia 92 tahun. Menurut kenyataan yang dikeluarkan peguam keluarga Warren, wanita itu berada dalam keadaan sihat dan menghembuskan nafas terakhir ketika tidur.
Pasangan Ed dan Lorraine Warren
Pasangan ini mula menjadi masyhur pada pertengahan 1970an apabila kerja-kerja penyiasatan kes paranormal mereka mula menjadi perhatian masyarakat. Antara kes penyiasatan mereka yang paling terkenal adalah peristiwa aneh yang dilalui pemilik hartanah di 112 Ocean Avenue, Amityville, pada tahun 1976. Kisah itu kemudiannya difilemkan sebagai “The Amityville Horror”. Pada 2013, kisah mereka sekali lagi diabadikan dalam filem menerusi “The Conjuring”, dan “Annabelle” pada tahun berikutnya.
Ed Warren maninggal dunia pada tahun 2006. Pasangan ini mempunyai seorang anak perempuan, Judy.