Tak semua orang mampu menggayakan fesyen yang dipenuhi corak gah dan sebagai jalan selamat, ramai lebih gemar memilih busana yang berasaskan fabrikasi polos.
Namun, melihatkan musim panas telah mengambil alih bumi Hollywood baru-baru ini, selebriti yang menghadiri acara Billboard Music Awards di Las Vegas (pagi ini waktu Malaysia) nampaknya sakan bergaya dengan helaian-helaian ekstrem yang dihiasi cetakan yang berwarna-warni. Manakala, ada juga yang memilih untuk bergaya glamor dengan busana berperincian butiran kilauan sequin!
Ada yang mengetengahkan motif floral, motif abstrak dan banyak lagi, lihat bintang mana yang paling menyinar dengan fesyen bawaan mereka sepanjang acara karpet merah untuk Billboard Music Awards berlangsung!
#1 Sophie Turner
Jarang lihat persalinan jumpsuit yang bercorak sebegini, helaian karpet merah Sophie Turner yang diperbuat dari fabrik brokat ini nampaknya menyerlahkan lagi warna rambut keemasan yang dimiliknya. Nampak menarik dan lain daripada lain.
#2 Ingrid Michealson
Bagai berada di parti Coachella, singer-songwriter yang berusia 39 tahun ini hadir dengan kelaian apabila menggayakan helaian two-piece yang dipenuhi warna-warni floral menggoda! Lagi manis bila rambutnya dihimpun dalam sanggul tinggi sebegitu.
#3 Paula Abdul
Meskipun sudah meningkat usianya, sosok yang pernah menjadi juri American Idol kesayangan ramai ini menyerlahkan sofistikasi dirinya dengan helaian blazer dress yang dihisi juntaian manik sequin yang sassy!
#4 Taylor Swift
Manis dibaluti rona Lavender, Taylor Swift memang tidak lokek untuk bergaya feminin setiap kali melangkah ke karpet merah. Kali ini, beliau seolah sengaja mewujudkan kemeriahan menerusi dress mini yang sarat dengan ropol untuk mempamerkan personalitinya yang tersendiri.
#5 Julianne Hough
Antara busana karpet merah yang boleh dikira cute! Jualianne Hough tampil seksi mengenakan two-piece berbentuk bralette dan hot-pants yang kemudiannya, dipadankan dengan blazer sutera bersulam sequin. Sangat ringkas namun cukup bergaya.
#6 Saweeti & Quavo
Pasangan rapper ini masing-masing menyerlahkan aura musim bunga/panas menerusi helaian yang dimewahkan dengan motif floral oriental di mana, Saweeti tampil anggun dalam persalinan dress berpotongan cheongsam yang sarat dengan butiran sequin monokrom manakala, Quavo pula kelihatan ‘jambu’ dengan kemeja berbunga.
#7 Zedd
DJ Zedd mengetengahkan gaya ranggi maskulin apabila tampil hebat dalam padanan suit bercetak penuh yang diceriakan ilusi sisik ular serta perincian butiran sequin pada garisan kolar. So sleek!
#8 Diplo
DJ Diplo yang semakin meningkat popular ini tampil berani dengan persalinan ala koboi namun, sudah diberi nafas baharu apabila fabrikasinya berwarna ungu sambil dilengkapi perincian sulaman bunga yang eksotik!
#9 Sofia Reyes
Dipenuhi perincian ropol, fabrikasi jenis mesh yang dipilih tidaklah begitu membosankan apabila ianya dihiasi bunga timbul mini yang membuatkan gaun kemban ini tampak mewah bersahaja.
#10 BTS
Dengar kata pakaian BTS untuk karpet merah Billboard Music Awards 2019 ini dibuat khas oleh pereka fesyen Alexander McQueen! Meskipun rata-rata mereka memakai suit monokrom, ada pula antaranya duanya yang ranggi menyarungkan suit bercetak. Comel!
Bagi kamu, helaian fesyen mana yang paling memukau?!