Wanita dan beg berpisah tiada. Itulah kata-kata yang sesuai digambarkan untuk wanita, ke mana sahaja mesti tak lekang dengan beg. Dan dalam beg ada lagi beg-beg kecil yang lain, hebat bukan? Boleh dikatakan segala barang keperluan yang diperlukan ada di dalam beg yang dibawa oleh sang wanita.
Tetapi jika di dalam beg telah dipenuhi dengan pelbagai barangan keperluan, pastinya beg tersebut berat bukan? Jika setiap masa dan hari membawa beg yang besar pastinya akan memberi kesan yang tidak baik terhadap kesihatan diri.
Jika anda kerap membawa beg yang berat, cepat atau lambat, kesihatan anda sedikit sebanyak terkesan dek membawa beg dengan kapasiti yang berat setiap masa dan hari. Ketahui kesan buruk dan pandangan pakar tentang membawa beg berat bersama Wanista hari ini.
Menyebabkan Tubuh Badan Tegang
Menurut Dr. Robert Hayden, beg berat akan memaksa otot dan juga tulang belakang anda untuk bekerja lebih kuat untuk menampung berat tambahan di tubuh. Kesannya ia akan menyebabkan bahagian belakang badan kadang kala berasa sakit. Semakin berat beban yang dibawa, semakin banyak bahu anda perlu bekerja.
Selain itu, Dr. Karen Erickson turut berkongsi bahawa mereka yang sering membawa beg berat ini berkemungkinan mendapat penyakit arthritis. Arthritis ini sering terdapat dibahagian leher dan juga bahagian bawah leher. Penyakit ini sering dihadapi oleh orang yang membawa beban atau muatan berat dengan jangka masa yang lama.
Sering Menghadapi Sakit kepala
Bukan itu sahaja, apabila anda sering membawa beg dengan beban yang terlalu banyak dan berat ia akan mengundang kepada kekerapan sakit kepala. Apabila otot di bahu dan di kawasan leher anda kejang dan tegang ia akan menyebabkan rasa sakit dibahagian belakang badan dan juga dibahagian belakang tengkorak anda. Jangan ingat tiada kesan samping apa-apa jika bawa beg berat ni!
Menyebabkan Imbangan Tubuh Badan Kucar Kacir
Anda perasan tak perbezaan diantara membawa beg yang berat dan juga beg ringan ke atas tubuh badan anda? Sebagai contoh, tahu tak bagi wanita yang menaiki motosikal sambil membawa beg galas yang berat akan berasa beban di bahu dan juga bahagian belakang badan. Dan merasakan perjalanan sambil membonceng motosikal berjalan dengan lancar meskipun terdapat beban dibahu.
Tetapi apabila anda membawa motosikal dengan hanya membawa beg silang yang ringan. Anda akan berasa imbangan berat di tubuh anda kucar kacir. Perbezaan ini lebih dirasai apabila anda membonceng motosikal kerana apabila kenderaan bergerak anda akan berasa seolah-olah hilang kawalan, imbangan tidak seimbang dan juga berasa diri anda mudah ditolak oleh angin apabila membonceng motosikal.
Nah, apabila anda membawa beg, pastikan kapasiti dan beratnya tidak berlebihan. Jika tidak kesihatan anda akan terjejas dan ini adalah petanda yang tidak bagus untuk diri anda dalam jangka masa panjang dan akan datang.