Haish.. Kenapa tiap kali pakai produk baru je mesti muka naik jerawatlah, timbul biji-bijilah, naik ruamlah! Stress betul bila kulit wajah jadi begitu bukan? Tambahan lagi produk yang digunakan tersebut berkualiti tetapi ia tetap menjadikan kulit mudah naik jerawat, ruam mahupun gatal-gatal.
Sebenarnya terdapat beberapa faktor yang boleh menyebabkan ianya berlaku ke atas kulit wajah. Untuk mengetahui lebih dalam, ikuti Wanista dalam mencari penjelasan tentang isu yang sering di hadapi oleh wanita di bawah.
Kitaran Skin Purging
Penyebab berlakunya masalah seperti wajah berjerawat, berbiji-biji mahupun mengalami masalah ruam ada kerana proses penyingkiran atau kitaran pembersihan kulit (skin purging) sedang berlaku.
Apabila anda mula menggunakan produk penjagaan kulit yang baru yang mengandungi bahan aktif atau exfoliant, yang kemudiannya anda guna pada kulit wajah yang tidak pernah berinteraksi dengan bahan aktif atau exfoliant ia akan memberikan interaksi atau perubahan pada kulit wajah.
Kulit wajah memerlukan masa untuk menerima kesan sesuatu bahan yang terdapat di dalam produk penjagaan.
Tindak Balas Produk Terhadap Kulit
Apabila kulit telah mula bersebati dengan penggunaan produk yang memiliki bahan aktif atau exfoliant, ia akan menjadikan pertumbuhan serta penukaran sel baru semakin cepat dek kerana bahan aktif yang terkandung di dalam sesuatu produk penjagaan tersebut.
Tambahan lagi, apabila ini berlaku proses penukaran sel ini akan juga mampu menyebabkan liang-liang pori yang tersumbat berubah menjadi jerawat aktif. Jika anda memiliki jerawat kecil pada wajah ia akan menjadi lebih besar dek kerana kerana proses penukaran sel baru ini.
Kulit Wajah Perlukan Masa Untuk Menerima Produk Baru
Secara umumnya, apabila kulit mula menerima penggunaan produk baru masa yang diperlukan untuk kulit sebati dan sesuai dengan penggunaan produk tersebut sekitar dua hingga enam minggu.
Walaubagaimanapun, ianya tetap bergantung kepada jenis kulit dalam memberi masa kepada kulit untuk melihat sama ada produk tersebut sesuai atau tidak pada kulit wajah. Paling lama untuk anda beri masa kepada kulit untuk menerima produk penjagaan kulit yang baru adalah dalam tiga bulan. Dan perhatikan perubahan yang berlaku pada wajah sepanjang tempoh percubaan tersebut.
Tips Mengurangkan Kesan Skin Purging
Untuk mengurangkan kesan skin purging atau kitaran pembersihan kulit ini, caranya adalah dengan mengunakan produk baharu secara perlahan-lahan. Mulakan dengan penggunaan ratio yang rendah secara beransur-ansur dan kemudia kepada ratio normal setelah kulit betul-betul dapat menerima produk penjagaan tersebut.
Sepanjang tempoh percubaan, kulit anda mungkin akan memberi reaksi seperti timbulnya jerawat, biji-biji, ruam dan sebagainya dek kerana menggunakan produk baharu.
Tetapi beri masa untuk kulit bersuai kenal dan menerima kandungan bahan yang terdapat pada produk tersebut dan sekaligus menghasilkan imuniti dalam kulit yang tersendiri.
Awas Jika Ia Menyebabkan Masalah Serius
Jika sepanjang tempoh percubaan, kulit anda menunjukan tindak balas yang sangat teruk dan negatif terhadap produk tersebut. Terus dapatkan nasihat doktor dan ketahui mengapa kesan reaksi terlalu serius.
Begitu juga jika kulit anda menunjukan tanda-tanda alahan yang serius. Berhenti menggunakan produk tersebut dan terus dapatkan rawatan tanpa berlengah. Kerana setiap produk yang mengandungi bahan-bahan aktif tertentu akan memberi kesan baik mahupun sebaliknya berdasarkan jenis kulit si pengguna itu sendiri.
Jadi apa-apa pun jua produk yang anda guna pakai, beri masa kepada kulit dan kemudian perhatikan reaksi atau tindak balas terhadap kulit. Jika ianya memberikan kesan yang positif, maka produk itu sesuai untuk anda gunakan.
Tetapi jika sebaliknya, hentikan penggunaan produk tersebut dan dapatkan rawatan segera. Dan ingat tiada istilah “Instant” dalam mendapatkan kulit wajah yang cantik. Semuanya bergantung kepada jenis produk yang sesuai mengikut masalah kulit dan juga komitmen dalam menjaga kesihatan wajah.